top of page

Graduan disarankan menyertai projek ECRL


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memerlukan 23,000 pekerja menjelang 2021, mempelawa lulusan kemahiran dan graduan tempatan memulakan kerjaya dengan syarikat berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata syarikat itu menawarkan kerjaya kepada golongan profesional, pekerja mahir dan pekerja am dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, jaminan kualiti, kesihatan, komersial, keselamatan dan alam sekitar, perhubungan serta pentadbiran pejabat.


Katanya, pemohon boleh menghantar resume untuk saringan awal semasa jelajah kerjaya ECRL bermula di East Coast Mall, Kuantan pada 5 hingga 8 Disember ini.


Beliau berkata, jelajah kerjaya itu akan diteruskan pada awal tahun depan di Pantai Timur dan Lembah Klang

“Projek ECRL akan mengambil pekerja dalam pelbagai bidang dan jawatan ini, memberi keutamaan kepada rakyat tempatan terutama lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kompetensi Kemahiran (SKK).


“Rakyat Malaysia yang berminat menceburi industri rel pembinaan boleh mengambil peluang daripada jelajah kerjaya untuk membina kerjaya bersama ECRL,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Darwis berkata, mereka yang bekerja dengan projek ECRL berpeluang mempelajari kaedah pembinaan yang cekap dan mengetahui teknologi rel terbaru dari China.


Katanya, projek ECRL memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan semasa fasa pembinaan dan lebih 4,000 jawatan kosong semasa pengoperasian dan penyelenggaraan.


“Di antara inisiatif penting dalam meningkatkan kemahiran rakyat tempatan dalam pembinaan dan penyelenggaraan rel ialah melalui Program Latihan Kemahiran Industri - Laluan Rel Pantai Timur dan program ini akan melatih lebih 5,000 pekerja mahir,” katanya.


MRL ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, iaitu pemilik projek dan aset ECRL, manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ialah kontraktor utama bagi projek ECRL.



32 views
bottom of page