Pengenalan atau perubahan sesuatu dasar tanpa kajian mendalam dan keghairahan mengemukakan polisi populis sebenarnya perlu dijadikan red flag kepada kerajaan kerana boleh menjerumuskan negara ke dalam situasi buruk, bahkan berkemungkinan menjadi 'negara gagal.'
Contoh mudah boleh dilihat pada Sri Lanka, dahulunya makmur kini dirundung malang kerana kegagalan Colombo membayar hutang luar negara AS$51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat negara Asia Selatan itu jatuh muflis.
Dalam ekonomi negara, konsep pinjaman dan 'berhutang' adalah perkara biasa untuk membolehkan kerajaan mempunyai sumber menampung perbelanjaan pembangunan, akhirnya hasil projek pembangunan diyakini mampu memberikan kesan berganda, sekali gus pulangan semula kepada negara.
Namun, konsep ini jika tidak diurus baik, bakal membawa malapetaka kepada negara seperti Sri Lanka yang sebelum ini berjaya melunaskan hutang secara terkawal sejak merdeka pada 1948.
Namun, krisis memuncak apabila kepemimpinan negara mengambil tindakan salah sehingga memburukkan lagi keadaan. Antaranya mengenakan larangan import meluas bagi mengatasi masalah rizab mata wang asing semakin berkurangan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan bahan api, akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat.
Perubahan polisi tidak masuk akal
Petani juga dipaksa bertani secara organik atas alasan mengurangkan kebergantungan import hingga memusnahkan produktiviti serta pendapatan rakyat memandangkan lebih dua pertiga bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada pertanian.
Perubahan polisi tidak masuk akal diburukkan lagi tindakan populis diambil Colombo mengurangkan cukai tanpa kajian ekonomi mendalam semata-mata untuk memenangi pilihan raya menyebabkan dana kerajaan berkurangan, sekali gus tiada lagi sumber untuk membayar hutang.
Dalam konteks Malaysia, walaupun kadar hutang negara masih terkawal berbanding Sri Lanka, tindakan berhati-hati perlu diambil agar tidak melakukan kesilapan.
Sebagai rekod, jumlah hutang negara pada akhir Disember tahun lalu adalah RM979.8 bilion bersamaan 63.4 peratus daripada nilai Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Unjuran hutang Sri Lanka meningkat 94 peratus daripada nilai KDNK pada 2019 kepada 119 peratus tahun lalu seperti didedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Justeru, pelaksanaan dasar ekonomi rasional perlu dilaksanakan bagi mengimbangi antara memenuhi kehendak rakyat dengan meningkatkan pendapatan negara. Pelaksanaan dasar ini juga tentu memerlukan karakter kepemimpinan kuat dan bertanggungjawab serta berkeupayaan meyakinkan semua pihak mengenai kebaikannya kepada rakyat dan negara jika dilaksanakan.
Antaranya, pelaksanaan subsidi petrol bersasar bagi memastikannya dinikmati golongan rentan dan mereka benar-benar memerlukan bantuan. Di samping itu, inisiatif ini juga dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan, mengatasi masalah ketirisan serta hasil penjimatan perbelanjaan kerajaan dapat diagihkan semula untuk program lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Selain itu, setiap dasar dan polisi ekonomi populis semata-mata mahu mencapai keuntungan politik harus diketepikan kerana membawa malapetaka kepada negara dalam jangka panjang.
Penulis adalah Pengurus Kanan Penggalakan Pelaburan Perak Investment Management Centre (InvestPerak)
Sumber: Berita Harian
Comments