Golongan M40 tidak terdesak miliki rumah - Zuraida


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kerajaan melihat mereka yang memiliki pendapatan sederhana (M40) sebagai golongan yang tidak terdesak untuk menerima bantuan kerajaan bagi memiliki rumah mampu milik.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, atas sebab itu, perhatian utama kerajaan ketika ini adalah untuk golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri.


“M40 belum terdesak sangat lagi jadi kita buat untuk B40 itu dulu,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan merancang untuk membantu golongan M40 kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara.


Terdahulu, Zuraida yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Transit dan Rumah Mampu Milik di sini hari ini.


Perjanjian tersebut melibatkan kerajaan yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dengan dua syarikat pembinaan iaitu Kery Sdn. Bhd. dan Tisy Sdn. Bhd.


Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N. Jayaselan.


Pada majlis tersebut, Zuraida turut melancarkan Dasar Perumahan Negara (2018 hingga 2025) yang turut meliputi Dasar Perumahan Mampu Milik Negara khusus untuk golongan B40.


Kata beliau, dasar tersebut menggariskan pembinaan rumah bersaiz 83.6 meter persegi yang berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit selain menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara.


“Kita juga akan memperkenalkan beberapa aspek yang boleh manfaatkan iaitu tanah wakaf bagi memajukan rumah mampu milik untuk golongan B40,” katanya.


Sumber: Utusan Online


#evolusibina #M40 #perumahan

29 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.