top of page

Gentari sasar pasang 400 poin pengecas EV akhir tahun ini


Gentari sasar pasang 400 poin pengecas EV akhir tahun ini
Gambar hiasan: Gentari Sdn Bhd (Gentari)

Gentari sasar pasang 400 poin pengecas EV akhir tahun ini

TANJUNG MALIM: Gentari Sdn Bhd (Gentari), anak syarikat PETRONAS menyasarkan pemasangan 400 poin pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 170 unit sudah siap dibina dan beroperasi di seluruh negara setakat ini.


"Pembinaan pengecas awam hanya memakan masa kira-kira dua hingga tiga minggu bagi pengecas jenis arus ulir (AC) dan dua minggu untuk pengecas jenis arus terus (DC), namun tempoh proses keseluruhan dilanjutkan kepada antara tiga hingga lapan bulan kerana permohonan tenaga kuasa dan proses-proses lain berkaitan hal penguatkuasaan," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Stesen Pengecasan Pantas EV Modular Mudah Alih Gentari di Hentian Sebelah Behrang arah Utara, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini.


Ia disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Mengulas mengenai Stesen Pengecasan Pantas EV Modular Mudah Alih Gentari, Shah berkata, pengecas bersepadu untuk kegunaan awam itu yang dilengkapi oleh sistem simpanan kuasa bateri (BESS) serta penggunaan tenaga solar itu adalah yang pertama di Malaysia.


Jelasnya, hasil inovasi kerjasama antara Gentari dan EV Connection Sdn Bhd (EVC) itu membolehkan pemasangan yang mudah alih yang membolehkan stesen itu dipindahkan ke lokasi lain jika diperlukan.


"Stesen ini dikuasakan oleh tenaga solar, dan disokong oleh BESS bagi mengurangkan kesan ke atas grid kuasa.


"Inisiatif ini diformulasikan selepas mengkaji cabaran berkaitan ketersediaan tenaga elektrik yang memerlukan masa yang lebih lama untuk dilaksanakan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran bagi projek rintis di empat Hentian Sebelah di sepanjang Lebuhraya PLUS setiap lokasi akan mempunyai kuasa pengecasan DC sehingga 200 kiloWatt (kW), dan empat poin pengecasan di setiap stesen akan disediakan.


Empat lokasi yang dicadangkan adalah Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan), Perak dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan), Negeri Sembilan.


Selain itu, tiga lagi lokasi akan dirancang di Hentian Sebelah Ajil (Arah Utara dan Arah Selatan) dan kawasan rehat dan rawat Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.


"Selain itu, beberapa poin pengecas AC di stesen minyak PETRONAS sedia ada yang terletak di R&R dan Hentian Sebelah akan dinaiktaraf kepada poin pengecas DC Pantas (DCFC), dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun depan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Gentari sasar pasang 400 poin pengecas EV akhir tahun ini

6 views
bottom of page