
KUALA LUMPUR: Persatuan Guild of Bumiputra Contractors Wibawa Berhad (GBC Wibawa) menegaskan persatuan itu dan ahli naungannya tidak terbabit dengan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Malah, GBC Wibawa juga memaklumkan tidak pernah menerima atau berunding dengan mana-mana pihak berkenaan tawaran kerja dalam projek Jana Wibawa.
Pengerusi GBC Wibawa, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim, berkata GBC Wibawa menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membanteras unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan dana kerajaan.
"GBC Wibawa sedia membantu kerajaan dalam menangani pemilihan kontraktor yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing seterusnya membentuk barisan kontraktor berwibawa di masa akan datang.
"Kita terkejut dengan pendedahan terhadap Program Jana Wibawa yang dipercayai terdapat unsur 'penyelewengan' di dalam lantikan kontrak-kontrak pembangunan dan infrastruktur kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, amat mendukacitakan apabila program berkenaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada kontraktor Bumiputera dimanipulasi oleh pihak tertentu dan dikaitkan dengan politik, pegawai awam dan beberapa syarikat kontraktor.
"Perkara seperti ini memberi persepsi negatif di kalangan masyarakat terutama membabitkan amalan rasuah dalam lantikan kontrak kerajaan.
"Tatacara pemilihan kontraktor di dalam Program Jana Wibawa dikatakan adalah kesinambungan Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa tahun 1993," katanya.
Program pembangunan tahun 1993 ini diwujudkan melalui Pekeliling Perbandaharaan Bilangan 11 tahun 1993, melahirkan lebih 300 ahli yang mengikuti Kursus Khas Kontraktor Binaan Bumiputera dan pemilihan ketika itu perlu melalui saringan yang amat ketat.
Antara syarikat terkemuka yang berjaya melalui platform Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa tahun 1993 ialah TRC Berhad, Johawaki Group, AZRB, Akar Holding, MSK Builder Holdings dan sebagainya.
Sumber: Berita Harian