top of page

Gamuda sasar peningkatan projek pembinaan luar negara



SHAH ALAM: Gamuda Bhd menyasar pendapatan dan keuntungan kumpulan dalam sektor pembinaan di pasaran luar negara meningkat kepada 50 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.


Antara pasaran yang menjadi tumpuan adalah Australia, Singapura dan Taiwan.


Pada masa ini, pendapatan dan keuntungan Gamuda Bhd dari pasaran luar negara adalah sekitar 20 peratus.


Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lin Yun Ling, berkata Gamuda tidak mempunyai pilihan melainkan mencari projek di pasaran luar bagi menjana pendapatan kumpulan.


“Tidak banyak projek besar sedang dijalankan di negara ini dan projek yang ada pula, saya boleh katakan separuh daripadanya menggunakan khidmat kontraktor dari China.

“Syarikat-syarikat ini sanggup membida tender projek di bawah harga kos, jadi bagaimana Gamuda Bhd boleh berhadapan dengan persaingan seperti itu.


“Justeru, kami perlu meneroka potensi di negara lain kerana jika tidak, kami akan kehilangan jurutera muda kami yang mungkin mencari peluang kerja di Singapura atau negara lain dan kami tidak mahu kehilangan bakat tempatan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 Gamuda di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Gamuda Bhd, Mohammed Rashdan Mohd Yusof.


Gamuda Bhd kini mempunyai nilai kontrak pembinaan sebanyak RM9.2 bilion.


Mengulas mengenai kemajuan Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), Yun Ling berkata, Gamuda akan memeterai perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) dalam tempoh beberapa minggu lagi.


“Selepas perjanjian berkenaan dimeterai, kerja-kerja rekaan boleh dimulakan dengan segera dan kami menjangkakan menjelang pertengahan 2020, pakej Transit Aliran Ringan (LRT) yang pertama akan diberikan,” katanya.



97 views
bottom of page