top of page

Gamuda, Martinus kemuka tender RM56 bilion di Australia


KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd melabur untuk mengambil alih 50 peratus kepentingan ekuiti firma berpangkalan di Australia, Martinus Rail Pty Ltd bagi merebut peluang dalam pelbagai projek pembinaan di negara itu.


Urus niaga itu akan membolehkan kedua-dua syarikat mengukuhkan pelaburan di Australia.


Martinus Rail adalah pakar pembinaan rel bebas milik persendirian terbesar di Australia, dengan trek rekod dan sumber yang relevan untuk melakar pencapaian lebih baik dalam industri.


Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, berkata pengambilalihan itu memberikan batu loncatan kepada Gamuda untuk menyumbang ke arah pembangunan infrastruktur di Australia, khususnya dalam industri kereta api, selain projek jalan bertol dan terowong metro.


“Ini sama dengan apa yang berjaya kami capai dalam lain-lain projek pembinaan negara, yang memanfaatkan secara mapan rantaian bekalan domestik dalam ekonomi serta segmen sosial.


“Kami menjangka mengemukakan tender kerja melebihi AU$20 bilion (RM56 bilion) dalam tempoh setahun dan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan.


Martinus Rail telah membina jenama yang kukuh di dalam industri rel, dengan kejayaan menyiapkan projek kereta api melebihi AU$200 juta (RM560 juta) di New South Wales, Victoria dan Queensland.


Sementara itu, Pengarah Urusan Martinus Rail, Treaven Martinus, berkata jalinan pelaburan baharu itu akan melengkapkan kekuatan dalam projek pembinaan infrastruktur.


“Kami teruja dengan prospek untuk membawa inovasi dan teknologi daripada syarikat infrastruktur kereta api bertaraf dunia seperti Gamuda ke dalam industri kereta api Australia, dan menggabungkannya dengan pengalaman tempatan kami yang luas untuk menjadi kontraktor kereta api utama Australia,” katanya.


Pesuruhjaya Kanan Perdagangan dan Pelaburan Australia ke Malaysia, Daniel Havas pula berkata, pelaburan itu akan terus mengukuhkan hubungan komersil dua hala dan keyakinan Malaysia terhadap projek pembangunan infrastruktur berterusan Australia yang dianggarkan bernilai AU$300 bilion (RM841 bilion).


Laporan Ekonomi BIS Oxford yang diterbitkan pada Julai 2019 berkata, infrastruktur kereta api di Australia dijangka berkembang 14 peratus setahun sehingga 2023.



34 views
bottom of page