top of page

Gamuda dapat kontrak baharu, perkukuh kedudukan di Australia


Gamuda dapat kontrak baharu, perkukuh kedudukan di Australia
Gamuda Bhd.

Gamuda dapat kontrak baharu, perkukuh kedudukan di Australia

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, DT Infrastructure (DTI) meraih kontrak kerja-kerja awal daripada Aula Energy untuk membangunkan Ladang Tenaga Angin Boulder Creek berkapasiti 372 megawatt (MW) bernilai kira-kira A$600 juta (RM1.85 bilion) di tengah Queensland, Australia.


Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata kerja-kerja awal itu berpotensi besar untuk mengembangkan kontrak syarikat itu di Australia.


"Projek itu membabitkan anggaran kos A$1.6 juta (RM4.94 juta) bagi setiap MW yang terpasang," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Bagi kontrak kerja-kerja awal yang ditawarkan kepada DTI, Adam berkata, ia dianggarkan menelan kos mencecah A$2 juta (RM6.17 juta hingga RM5 juta (RM15.4 juta) berdasarkan kontrak kerja-kerja awal bernilai A$20 juta (RM61.74 juta) yang diberikan kepada UGL and CPB Contractors milik CIMIC Group untuk pembinaan projek talian transmisi sepanjang 1,000 kilometer bernilai A$5 bilion (RM15.4 bilion).


"Meskipun kontrak kerja-kerja awal ini nilainya lebih kecil berbanding buku pesanan Gamuda kira-kira RM24 bilion, kontrak ini dilihat sebagai permulaan yang penting buat DTI untuk meletakkan kehadirannya dalam sektor tenaga boleh baharu di Australia sebelum ia mula mengerjakan kontrak-kontrak berskala lebih besar.


"Setakat 31 Oktober 2023, projek di bawah DTI membentuk sejumlah RM4.6 bilion, atau 19 peratus daripada nilai kontrak belum bayar kumpulan ini sebanyak RM24 bilion.


"Sementara itu, projek di Australia secara keseluruhannya menyumbang 50 peratus," katanya.

RHB Investment Bank berkata, menuju ke hadapan, Gamuda telah disenarai pendek untuk empat projek iaitu pakej terowong kedua untuk Suburban Rail Loop (SRL) East (Glen Waverley sehingga Boxhill) yang dianggarkan bernilai A$2 bilion (RM6.17 bilion) hingga RM4 bilion (RM12.3 bilion); lebuh raya di Melbourne; pakej laluan penuh untuk metro SRL; dan potensi stesen Sydney Metro West tambahan di Rosehill.


"Dengan ini, Gamuda berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran penambahan kerjanya RM25 bilion antara tahun kewangan 2024 hingga 2025," katanya.


Mengenai prospek yang selanjutnya di Australia, Adam berkata, memandangkan talian transmisi sepanjang kira-kira 10,000 kilometer perlu dibina di Australia, Gamuda menerusi DTI ataupun anak syarikatnya di Australia, Gamuda Engineering Pty Ltd mungkin akan menjalinkan usaha sama (JV) dengan beberapa rakan kongsi yang berkaitan untuk meraih kerja dalam bahagian zon tenaga boleh baharu dan talian grid transmisi yang mencecah nilai lebih A$35 bilion (RM108.04 bilion) di wilayah New South Wales sahaja.


"Dalam pada itu, Gamuda juga berkemungkinan ditawarkan kerja dalam pasaran tempatan yang mungkin membabitkan projek Transit Aliran Ringan Bayan Lepas dan Fasa 1B untuk Lebuhraya Pan Borneo di Sabah," katanya.

Sumber: Berita Harian


Gamuda dapat kontrak baharu, perkukuh kedudukan di Australia

bottom of page