top of page

Gaji rendah punca KWSP sikit


Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KWSP
SEKTOR pembinaan adalah contoh industri yang memerlukan kemahiran praktikal yang tinggi. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN

SAUDARA PENGARANG,

PENDEDAHAN Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa daripada 15.72 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya empat peratus atau 400,000 pencarum yang mampu bersara selesa dengan memiliki simpanan RM600,000 dan ke atas memang membimbangkan.


Ini menunjukkan kebanyakan daripada kita mempunyai caruman sedikit untuk bersara yang berpunca daripada gaji rendah. Antara cara mengatasi isu ini adalah dengan memperkenalkan gaji progresif.


Ia adalah satu konsep memberikan ganjaran lebih tinggi kepada pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman diperlukan oleh syarikat. Ini bermakna pekerja menerima gaji yang lebih tinggi seiring kemahiran dan pengalaman mereka dalam industri.


Sekiranya graduan mempunyai kemahiran dan pengalaman, mereka akan menerima gaji lebih tinggi berbanding pekerja lain yang mempunyai kelayakan sama tetapi tidak mempunyai kemahiran praktikal.


Gaji progresif sebagai contoh, pelaksanaan di Singapura yang mana kerajaan negara tersebut menetapkan gaji yang diberi kepada pekerjanya adalah berdasarkan kelayakan dan kemahiran serta produktiviti.


Di setiap syarikat atau industri, kerajaan Singapura sudah ada satu jadual gaji lengkap. Sekiranya kemahiran meningkat kepada tahap tertentu maka gajinya akan naik mengikut skala dan pekerja akan sentiasa dipantau. Dengan itu, setiap pekerja tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk dinaikkan gaji.


Untuk beralih kepada gaji progresif, tumpuan perlu diberikan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan kepada pendidikan berasaskan kemahiran praktikal dan teknikal diperlukan dalam industri.


Menurut data, purata gaji permulaan bagi graduan TVET adalah RM1,500 hingga RM2,500 sebulan, manakala purata gaji permulaan bagi graduan universiti adalah RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.


Namun, selepas dua hingga tiga tahun bekerja, graduan TVET mampu memperoleh gaji yang sama atau lebih tinggi daripada graduan universiti.


Menurut data, graduan TVET yang mempunyai diploma atau sijil dalam bidang automotif, kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT) mampu memperoleh gaji sehingga RM4,000 selepas beberapa tahun bekerja.


Graduan TVET yang mempunyai sijil kemahiran teknikal dalam bidang IT misalnya, mampu mendapat gaji lebih tinggi kerana pada era Revolusi Industri 4.0, majikan amat memerlukan pekerja berpengalaman dalam bidang-bidang seperti internet benda (IoT), keselamatan siber dan data raya.


Kemahiran teknikal dan praktikal yang diperoleh oleh graduan TVET sangat diperlukan oleh majikan kerana mereka dapat memberikan nilai tambah dan menyumbang kepada pembangunan syarikat.


Selain IT, industri pembuatan, automotif, kejuruteraan dan pembinaan adalah contoh-contoh sektor memerlukan kemahiran praktikal yang tinggi.


Graduan TVET dalam bidang ini mempunyai peluang untuk memperoleh gaji progresif lebih tinggi kerana kemahiran praktikal yang mereka miliki.


Selain kemahiran teknikal, graduan TVET juga menjadi pilihan majikan kerana mempunyai keupayaan untuk mengendalikan tugasan-tugasan yang kompleks dan perlu mempunyai kemahiran hubungan sesama manusia yang baik.


Ini kerana kursus-kursus TVET sering melibatkan projek-projek yang menguji kemahiran pelajar dalam menyelesaikan masalah secara kreatif, berkomunikasi secara berkesan dan kerjasama secara berkumpulan.


PROFESOR MADYA DR. MD FAUZI AHMAD & PROFESOR DR. ABDUL TALIB BON, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Sumber: Utusan


6 views

Comments


bottom of page