top of page

Firma China beli tanah EcoWorld RM53.3 juta


Shanghai Baosteel Packaging Co. Ltd - Foto Bloomberg

KUALA LUMPUR/SHANGHAI: Firma China, Shanghai Baosteel Packaging Co. Ltd membeli 6.6 hektar tanah milik Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) dengan pertimbangan pembelian bernilai RM53.3 juta.


Shanghai Baosteel Packaging menerusi anak syarikatnya, Baosteel Can Making (Malaysia) Sdn Bhd (Baosteel Malaysia) memeterai perjanjian jual beli tanah perindustrian di projek Eco Business Park V (EBP V) milik EcoWorld Malaysia.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata keputusan Baosteel Malaysia memilih EBP V sebagai kilang pengeluaran yang baharu menyumbang ke arah usaha syarikat menjadikan projek berkenaan sebagai taman perindustrian terbaik di Malaysia.



"Kami berbesar hati Baosteel Malaysia memilih EBP V. Ia bakal menjadi pusat penawaran tenaga kerja utama berkualiti kepada rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan.


EcoWorld Malaysia dan Baosteel Malaysia memeterai perjanjian bagi projek EBP V secara maya di Kuala Lumpur dan Shanghai, China dengan Khim Wah mewakili Paragon Pinnacle Sdn Bhd iaitu pemaju EBP V, manakala Baosteel Malaysia diwakili Pengarahnya, Zhu Wei Lai.


Shanghai Baosteel Packaging adalah anak syarikat milik kerajaan China, China Baowu Steel Group Corporation Limited (Baowu).


Baowu pula adalah syarikat perintis dalam pelaburan modal milik kerajaan China dengan modal berdaftar RMB52.79 bilion (RM31.8 bilion) dan memiliki aset bernilai RMB860 bilion (RM518.5 bilion).


Pada 2019, Baowu berada pada kedudukan 149 daripada syarikat Global Fortune 500.


Mengulas lanjut, Khim Wah berkata, kumpulan itu turut menerima banyak pertanyaan peserta industri luar negara susulan insentif pelaburan langsung asing (FDI) bagi menarik penempatan semula kemudahan pengeluaran di Malaysia yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).


Beliau berkata, pengecualian cukai 10 atau 15 tahun yang ditawarkan pelabur asing yang bersedia melabur antara RM300 juta hingga RM500 juta, atau melebihi RM500 juta telah memacu minat baharu di Malaysia sebagai destinasi pelaburan berpotensi bagi FDI.


Katanya, janji untuk mempercepatkan kelulusan lesen pembuatan dalam tempoh dua minggu bekerja bagi industri tidak sensitif, pastinya akan memberi mesej tepat bahawa Malaysia sangat terbuka kepada perniagaan.


"Selain insentif cukai, langkah kerajaan meredakan dan mengawal krisis COVID-19 membuatkan ramai percaya bahawa Malaysia berada pada kedudukan terbaik pulih lebih pantas berbanding negara lain. Kami yakin apabila pintu sempadan dibuka, lebih banyak FDI di bawa masuk ke EBP V dan taman perniagaan lain di Iskandar Malaysia," katanya.


Sementara itu, Wei Lai berkata, kerjasama antara Baosteel Malaysia dan EcoWorld Malaysia membuktikan langkah pelaburan berterusannya di Asia Tenggara.


"Baosteel Malaysia akan meninjau kerjasama lebih lanjut dengan EcoWorld Malaysia dalam lebih banyak bidang," katanya.



162 views
bottom of page