top of page

Fasa dua projek di Sarawak: Kontraktor bakal dimuktamadkan


Fasa dua projek di Sarawak: Kontraktor bakal dimuktamadkan Sarawak Voice www.sarawakvoice.com
Gambar hiasan: Fasa dua projek di Sarawak: Kontraktor bakal dimuktamadkan

KUCHING: Kementerian Kerja Raya berharap pelaksanaan fasa dua projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dapat memuktamadkan pelantikan kontraktor dalam masa terdekat agar pembinaan dilaksanakan segera.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa dua SSLR yang menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas kini sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dari segi perolehan.


Menurutnya, SSLR ini merupakan keutamaan bagi kementeriannya kerana ia merupakan jalan penghubung tanpa perlu melalui Brunei.


“SSLR ini merupakan penghubung utama yang perlu kita buka untuk Limbang dan Lawas yang tiada hubungan apabila Brunei menutup pintu sempadan. Sebab itu ia merupakan keutamaan kita,” katanya pada sidang media selepas Libat Urus Kementerian Kerja Raya Bersama Media Sarawak, di sini, semalam.


Beliau menambah, projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) iaitu Missing Link daripada Miri, Kuala Baram ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Brunei, Limbang dan Lawas turut dalam perancangan.


Justeru, beliau berharap projek tersebut dimuktamadkan dalam penghujung tahun ini dan pelaksanaan dapat dimulakan pada tahun hadapan.


Katanya, kos siling bagi kedua projek adalah sekitar RM12 bilion dan kos projek hanya dimuktamadkan setelah penilaian pengurusan dan penilaian kejuruteraan telah dibuat.


Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, Kementerian Kerja Raya ketika ini melaksanakan empat projek bernilai RM1.636 bilion.


Katanya, ia melibatkan pembinaan jejambat Jalan Medan-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu, naik taraf Jalan Datuk Mohd Musa sehingga ke bulatan Kota Samarahan, jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan fasa pertama SSLR dari Lawas ke Simpang Long Lopeng.



15 views

Commentaires


bottom of page