top of page

Fajarbaru rancang projek hartanah baharu


Projek Rica Residence @ Sentul yang dimajukan oleh Fajarbaru Builder Group Bhd - Foto Fajarbaru

KUALA LUMPUR: Fajarbaru Builder Group Bhd, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah bercadang melancarkan projek baharu menjelang separuh kedua tahun ini setelah keadaan pasaran bertambah baik.


Kumpulan itu baru-baru ini menyiapkan pembangunan sulungnya, Rica Residence @ Sentul, seperti yang dijadualkan dan mula menyerahkannya pada pertengahan Mac tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng, berkata bahagian hartanah kekal menjadi penyumbang pendapatan yang ketara bagi kumpulan selain perniagaan terasnya dalam pembinaan.


Beliau berkata, Fajarbaru mempunyai kepentingan pembangunan hartanah bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Australia."Meskipun pandemik COVID-19 menjejaskan segmen hartanah, namun sudah ada tanda positif bahawa keadaan pasaran akan bertambah baik dan kita dapat memanfaatkannya selagi boleh menyesuaikan diri dan berinovasi dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.


Rica Residence @ Sentul, yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM292.49 juta, adalah pembangunan hartanah sulung Fajarbaru di Malaysia.


Walaupun syarikat berasal dari latar belakang pembinaan, segmen pembangunan hartanah yang dilaksanakan di bawah anak syarikat milik penuhnya, Fajarbaru Land, menepati janji mengenai kualiti kepada pelanggan pertamanya dan memberikan nilai tambahan kepada pembeli dengan pemasangan lantai poliuretana (PU) untuk tempat letak kereta serta tiga stesen pengisian tenaga kenderaan elektrik (EV).


Kadar langganan terkini Rica Residence @ Sentul adalah 82 peratus termasuk tempahan dan menyasarkan menjual unit selebihnya pada akhir 2021.


Fajarbaru juga akan meneliti kemungkinan melancarkan projek Rica Residence @ Kinrara pada 2021, yang akan berlandaskan konsep pembangunan kondominium.


Sementara itu, projek hartanah di Melbourne, Australia pula, pembangunan Paragon Queen Street dengan GDV sebanyak AU$182.84 juta (RM583.92 juta) selesai baru-baru ini.


Kadar langganan terbaharunya adalah 93 peratus dan pemaju cukup yakin dengan penjualan baki unit yang tinggal dalam projek memenangi anugerah di Asia Pacific Property Awards 2018-19 dan iProperty Development Excellence Award 2019.


Kumpulan itu juga kini dalam kerja pembangunan ketiga, iaitu projek yang merangkumi 15 rumah kediaman dua tingkat di sepanjang Merri Creek dekat Northcote, Melbourne.


"Pembinaan di Northcote belum bermula, tetapi dijadualkan untuk pra-pelancaran pada pertengahan tahun ini dan minat pelanggan sangat menggalakkan kerana lokasinya.


"Projek ini akan memperluaskan kehadiran kami di pasaran hartanah di Melbourne, Australia dan mengembangkan asas pendapatan Kumpulan," kata Khian Leng sambil menambah anggaran GDV untuk pembangunan Northcote adalah sekitar AU$40.20 juta (RM128.38 juta).


Menuju ke hadapan, Fajarbaru berusaha untuk memperluaskan lagi asas pembangunan hartanah tempatannya, tidak hanya di Lembah Klang, tetapi juga di Pulau Pinang dan Putrajaya setelah ekonomi dibuka sepenuhnya.


Sumber: Berita Harian

10 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page