top of page

Empat pihak bertanggungjawab tragedi Bukit Kukus


GEORGETOWN: Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus menyatakan empat pihak, termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, Oktober tahun lalu.


Pengerusinya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata kontraktor pembinaan iaitu, Yuta Maju Sdn Bhd, dikenal pasti sebagai pihak pertama, dianggap tidak melakukan kerja mitigasi memuaskan selain cerun sementara yang dibina tidak direkabentuk jurutera perunding bertauliah.


Malah, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihak kontraktor juga tidak mempunyai ‘Professional Engineer for Temporary Works’ (PETW) untuk merekabentuk, mengesah, serta menyelia kerja-kerja tanah dan cerun, dan akibatnya tiada lukisan atau pengiraan kejuruteraan dihantar kepada perunding.


“Selain Yuta Maju, jurutera perunding iaitu GEA (M) Sdn Bhd juga harus bertanggunggjawab kerana kerja-kerja sementara tidak boleh dibiarkan kepada kontraktor semata-mata, dan ini dinyatakan dalam garis panduan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bahawa kerja sementara yang utama memerlukan pengawasan jurutera bertauliah,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.


Ahmad Zakiyuddin berkata, satu lagi yang perlu bertanggungjawab adalah penyemak kejuruteraan bebas (ICE) iaitu G&P Professional Sdn Bhd.


Katanya, ICE tidak mematuhi skop kerja yang membabitkan semakan ke atas kerja reka bentuk pembinaan struktur sementara, manakala MBPP tidak menyelia, memantau kemajuan dan rekod tapak pembinaan.


“Bagaimanapun, kita tetap mengarahkan Yuta Maju dan pihak terbabit menyiapkan baki 25 peratus lagi kerja di tapak pembinaan berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya Mei tahun hadapan,” katanya.


Menjelaskan mengapa kerajaan negeri tetap memilih kontraktor sama meneruskan projek berkenaan, Ahmad Zakiyuddin berkata, runtuhan itu berlaku di tapak kerja sementara bagi pembinaan kerja-kerja tetap.


“Kita dapati kualiti kerja yang dijalankan di lokasi lain mengikut spesifikasi dan boleh diterima.


“Jika mahu lantik kontraktor baharu, ia memerlukan masa dan tapak projek itu akan terdedah dengan risiko besar kerana terdedah begitu lama,” katanya.


Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya juga belum dapat memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit berikutan masih belum menerima laporan penuh daripada polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).


Pada 2 Februari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kontraktor, jurutera perunding, dan ICE yang dilantik membina Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus disenaraihitamkan bagi semua projek baharu Pulau Pinang.


Dalam kejadian 19 Oktober 2018, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus, manakala tiga lagi cedera di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.


Projek yang bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif yang menghubungkan antara Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul.


Sumber: Berita Harian


51 views
bottom of page