top of page

EKVE nafi projek bina lebuh raya punca banjir kilat



AMPANG - Pemegang konsesi Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), EKVE Sdn Bhd menafikan projek pembinaan adalah punca utama kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini pada Isnin.


Sebaliknya, Jurucakap EKVE Sdn Bhd mendakwa kejadian banjir kilat tersebut adalah berpunca daripada bencana alam iaitu hujan yang sangat lebat.


Jurucakap EKVE berkata, berdasarkan bacaan meteorologi di Bukit Antarabangsa dan Puncak Atheneum, masing-masing menunjukkan bacaan kadar ketumpatan hujan sebanyak 144 milimeter (mm) dan 138mm dikategorikan sebagai sangat lebat yang berlarutan selama lebih kurang tiga jam di sekitar Ampang.


Menurutnya, fenomena terbabit menyebabkan aras air di Sungai Ampang naik mendadak dan melebihi paras bahaya sepertimana direkodkan di laman sesawang Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 7.30 petang pada Isnin.


“Hasilnya, banyak kawasan-kawasan rendah termasuk jalan raya utama dinaiki air dan berlakunya banjir kilat di sekitar Ampang serta Hulu Langat.


“Perkara ini turut dijangkakan berlaku akibat musim Monsun Timur Laut sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Dalam pada itu, jurucakap EKVE turut memaklumkan bahawa kejadian banjir lumpur di kawasan sekitar sini adalah bencana alam yang berada di luar kawalan.


Bagaimanapun katanya, pihak EKVE mengambil langkah memberi bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan terlibat dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan dan lain-lain mengikut keperluan yang dikenalpasti.


“Selain itu, kemajuan kerja pembinaan di tapak sehingga akhir Oktober 2021 telah mencapai 95 peratus dan kerja-kerja pembinaan hanya berbaki kerja jambatan, tembok penahan, ‘roadbase’, ‘pavemen’ dan bangunan plaza tol, yang mana semua kerja-kerja tanah selesai di tapak," katanya.


Tambahnya, pasukan kontraktor sentiasa memastikan pelaksanaan sistem kawalan hakisan kelodak di tapak diselenggara dan ditambah baik dari masa ke masa sepertimana pematuhan syarat-syarat EIA yang telah diluluskan.


“Pihak agensi bertanggungjawab sentiasa turun ke tapak bina untuk memantau pelaksanaan projek yang dijangkakan siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.


Pada Rabu, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa sisa tanah daripada tapak pembinaan lebuh raya EKVE dipercayai salah satu punca banjir kilat di Lembah Permai, Bukit Belacan di sini pada Isnin.


Menurutnya, sisa tanah dan hujan yang berlarutan sehingga lima jam menyebabkan air dari sungai Ampang melimpah walaupun empangan tidak dibuka.


Katanya, kejadian banjir seperti itu pernah berlaku sebelum ini, tetapi hanya disebabkan pelepasan air dari empangan Ampang pada tahun 2007 dan 2012.


Sumber: Sinar Harian

253 views
bottom of page