top of page

EKSKLUSIF: Terusan Wan Mat Saman kotor, jadi parit terbiar


ALOR SETAR: Terusan Wan Mat Saman yang berusia 134 tahun sepatutnya menjadi antara warisan sejarah Kedah, kini didapati semakin terbiar, sepi dan dipenuhi sampah akibat kurang penyelenggaraan.


Bagaimanapun, terusan itu yang tidak lagi berfungsi mengairi sawah, terbiar yang menyebabkan ada antara bahagian terusan itu dalam keadaan uzur, ditimbuni tanah dan sampah akibat kegiatan pembinaan di kawasan sekitarnya.


Tinjauan mendapati sikap segelintir penduduk turut memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan mudah membuang plastik, kertas dan botol ke dalam terusan sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan.


Air jadi hitam

Pada bahagian tertentu terusan juga didapati, sampah yang hanyut tersangkut pada rumput panjang di tebing sehingga turut menyebabkan aliran air tersekat terutamanya ketika musim kemarau.


Antara bahagian terusan yang dikesan menjadi tempat longgokan sampah dan dipenuhi rumput adalah sekitar Tandop, Simpang Empat, Kota Sarang Semut, Sungai Limau dan Guar Chempedak.


Akibat daripada masalah itu, air di dalam terusan menjadi hitam sehingga menyakitkan pandangan terutamanya kepada pengguna jalan raya dan pelancong yang berkunjung ke Kedah.


Lebih menyedihkan apabila terdapat struktur fizikal yang dibina sebelum ini seperti kunci air juga tidak lagi diselenggara menyebabkan ia tidak berfungsi dan dibiarkan rosak begitu saja.


Penduduk, Mad Noh Mad Jam, 67, berkata terusan itu sememangnya tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya, sedangkan jika diselenggara baik ia boleh menjadi aset pelancongan negeri.


Suatu ketika dahulu terusan yang turut dipanggil sebagai Sungai Wan Mat Saman menjadi tempat orang ramai berkelah, malah di kawasan berhampiran Sungai Sala masih terdapat buaya.


“Tetapi apa yang terjadi sungai ini kini hanya menjadi parit kotor akibat tidak dijaga dengan baik. Hanya bahagian tertentu sahaja seperti di Tandop, Alor Setar dan Guar Chempedak masih elok kerana terdapat bahan tarikan pelancong,” katanya yang ditemui di Kota Sarang Semut.


Bagi Osman Ismail, 60, berkata terusan itu kini umpama parit atau longkang terbiar sahaja akibat tidak lagi dijaga dengan baik.

“Jika dijaga dan diselia dengan baik, sudah pasti terusan ini akan mempunyai air yang jernih dan tidak berbau kerana hasil buangan dari bandar tidak tersangkut di bahagian selatan terusan.


“Bahagian terusan yang elok kini cuma di bandar saja, sedangkan di bahagian Simpang Empat hingga Guar Chempedak keadaannya tidak menentu,” katanya yang berasal dari Bukit Choras.


Peniaga, Mohmmad Ridzuwan Baharom, 35, pula berkata, kebanyakan golongan muda tidak mengetahui terusan ini menjadi sebahagian sejarah Kedah dan pernah memberi banyak manfaat kepada pesawah.


"Golongan muda hanya memanggil terusan ini sebagai parit dan jika ditanya sejarahnya, mereka tidak mengetahui mengenainya dan bagi kaki pancing pula mereka menganggapnya sebagai terusan biasa.


Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil terusan ini akan terbiar dan mungkin dikambus pada masa hadapan berikutan tiada lagi pihak yang menghargai peninggalan sejarahnya,” katanya.


Perlu RM1.8 juta setahun

Pada 2017, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab menguruskan terusan berkenaan pernah menerima Anugerah Warisan sempena Kongres Antarabangsa Persatuan Penyelidikan dan Kejuruteraan Hidro Alam Sekitar (IAHR).


Difahamkan, terusan itu memerlukan kira-kira RM1.8 juta setahun bagi menyelenggara dan mengindahkan kawasan sekitarnya bagi mengekalkan fungsi serta sejarahnya yang unik.


Terusan Wan Mat Saman dibina bagi membantu pesawah di Kedah dalam aspek pengairan sawah padi untuk meningkatkan hasil pengeluaran. Pada ketika itu sawah antara industri terpenting di rantau ini.


Info Terusan Wan Mat Saman

• Inisiatif bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Wan Muhammad Saman Wan Ismail.

• Dibina pada 13 Ogos 1885 dan siap pada 1895

• 36 kilometer panjang terusan

• Selebar 7.5 meter dan kedalaman dua meter.

• Kedudukan di tepi Jalan Persekutuan Alor Setar-Gurun.

• Menjadi sumber air bagi aktiviti tanaman padi, tebatan banjir dan bekalan air


Sumber: Berita Harian


33 views
bottom of page