top of page

ECRL: Tiada tanah percuma diberikan kepada China


PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dakwaan Malaysia memberikan 4,500 ekar (1,800 hektar) tanah secara percuma kepada China bagi membolehkan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikurangkan.


“Saya tidak dimaklumkan yang tanah 4,500 ekar diberikan. Saya tidak rasa ia betul, kita perlu melihat kontrak itu. Jadi, sekiranya ada sebarang tambahan, saya rasa perkara itu perlu melalui peringkat Kabinet.


“Apa yang boleh saya kata, (tanah) diberikan secara percuma, sama sekali tidak betul, 4,500 ekar tanah tidak akan diberi secara percuma. Kita perlu tunggu kontrak rasmi dan segala perincian akan didedahkan. Setakat yang saya tahu, ia tidak diberikan secara percuma,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Utama Program Kolaborasi Industri (ICP) antara kerajaan Malaysia dengan Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) berkaitan kontrak membekal dan memperbaharui kereta api bagi Prasarana Malaysia Berhad di sini, hari ini.


Media sebelum ini melaporkan, penulis blog, Raja Petra Kamaruddin dalam tulisan di blognya dilaporkan berkata China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menerima sejumlah 4,500 ekar tanah di tujuh lokasi berhampiran dengan stesen hentian ECRL.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.


Kos pembinaan fasa satu dan dua ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.


Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan CCCC.



26 views
bottom of page