top of page

ECRL: Minimumkan impak kepada alam sekitar


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada diubah atau dikekalkan, memberi impak minimum kepada alam sekitar.


Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata apabila sesuatu projek 'menyentuh' kawasan perhutanan, ia mesti dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan alam semula jadi, pemuliharaan habitat dan hidupan liar dapat dilindungi sebaiknya.


Walaupun projek yang ingin dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan ekonomi, beliau meminta kerajaan tidak sewenang-wenangnya 'semberono' dengan mengambil mudah soal kepentingan alam semula jadi yang perlu ditangani secara terperinci serta berhemah.


"Kita pernah memberi nasihat supaya mengambil kira atau meminimumkan impak terhadap alam semula jadi. Kita faham walaupun ini projek kerajaan dan terpaksa melalui hutan, namun ia mesti meminimumkan kesan kepada alam sekitar.


"Misalnya hutan di Pahang. Kawasan itu diibaratkan sebagai prime forest (hutan utama) yang mana ia menjadi tempat habitat hidupan liar yang penting. Apabila kita bercakap soal central forest spine, kajian terperinci mesti dilakukan.


"Contoh lain pula, kalau jajaran melalui pinggiran banjaran yang membabitkan Hutan Simpan Jelebu, Negeri Sembilan iaitu di Kenaboi. Itu adalah kawasan yang kerajaan rancang untuk buat pemeliharaan tapir.


"Maksudnya di sini, sebarang projek mesti ambil kira segenap aspek dan integrasi. Maknanya kena dapatkan pandangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perhutanan sebab kita tak nak spesis hilang. Semua ini kena lihat secara terperinci dengan mendapatkan maklumbalas Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," ketikanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, semalam bahawa kerajaan akan membuat pengumuman mengenai penjajaran projek ECRL selain kosnya dalam masa terdekat.


Bagaimanapun, Ka Siong enggan mendedahkan sama ada jajaran projek itu menggunakan pelan asal atau rancangan baharu seperti diumumkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.


Sementara itu, Pakar Geologi, Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo, menetapkan tiga asas yang perlu diambil kira untuk melaksanakan projek berkenaan.


Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, asas pertama adalah jaluran yang melalui bandar utama sepanjang perjalanan bagi memastikan jumlah pengguna optimum dan menyelesaikan masalah pengangkutan semasa dan akan datang.


Bagi asas kedua pula, katanya, projek yang membabitkan perjalanan terdekat perlu melalui rupa bumi paling selamat supaya tidak berlaku masalah kestabilan cerun semasa dan selepas pembinaan dengan kos paling berpatutan di samping kerja pembinaan kurang mengganggu masyarakat.


"Asas ketiga adalah pertimbangan berkaitan pembinaan mesra alam sekitar, menghindar kerosakan warisan alam dan budaya khususnya warisan bernilai kebangsaan serta antarabangsa.


"Dalam kes terpaksa melalui kawasan perlindungan atau tapak warisan penting, ia perlu pertimbangan khas dan maklumbalas masyarakat dan pembinaan tidak merosakkan warisan diperlukan.


"Pada masa sekarang, teknologi canggih boleh digunakan untuk mengelak kerosakan alam sekitar dan warisan. Pembinaan menggunakan jejambat dan terowong cara terbaik bagi memastikan pencemaran, hakisan termasuk kestabilan cerun diminimumkan," katanya.



10 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page