top of page

E&O yakin capai sasaran jualan hartanah RM500 juta


E&O yakin capai sasaran jualan hartanah RM500 juta
Projek Andaman Island di Pulau Pinang yang dimajukan oleh E&O.

E&O yakin capai sasaran jualan hartanah RM500 juta

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Eastern & Oriental Bhd (E&O) yakin mampu mencapai sasaran jualan RM500 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 bersandarkan prestasi jualan projek hartanahnya yang menggalakkan.


Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tee Eng Ho, berkata kumpulan itu telah berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM451 juta untuk separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.


"Saya yakin kami mampu capai sasaran jualan ditetapkan dipacu oleh jualan daripada projek pembangunan termasuk Conlay di Kuala Lumpur, Avira di Andaman Island, Pulau Pinang dan The Peak di Damansara Heights untuk tahun kewangan penuh kami," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas taklimat mengumumkan keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2024 di sini, hari ini.


Yang turut hadir Pengarah Urusannya, Kok Tuck Cheong.


E&O merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM31.4 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2023, melonjak 11 kali ganda berbanding RM2.7 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan lalu.


Pendapatan bagi suku dikaji adalah sebanyak RM123.9 juta, meningkat 30.4 peratus daripada RM95 juta pada suku sama tahun lalu.


Pendapatan daripada segmen hartanah meningkat sebanyak 35 peratus kepada RM96.4 juta pada S2TK24, hasil daripada jualan yang lebih tinggi bagi projek yang sedang berjalan iaitu Arica serta projek usaha samanya iaitu Conlay, The Peak dan Avira Garden Terraces.


Pendapatan segmen hospitaliti turut meningkat sebanyak 15.8 peratus daripada RM22.5 juta pada suku kedua tahun lalu kepada RM26 juta, disumbangkan oleh kadar purata bilik dan kadar penghunian yang lebih tinggi yang dicapai oleh Eastern & Oriental Hotel (Pulau Pinang) dan E&O Residences (Kuala Lumpur) pada masa ini.


Di sebalik pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen hartanah dan hospitaliti, pengiktirafan keuntungan pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM25.7 juta, berbanding kerugian pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM42.7 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023 juga adalah faktor di sebalik lonjakan ketara keuntungan bersihnya.


Sementara itu, Tuck Cheong berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi kewangan kumpulan yang sejajar dengan jangkaan.


"Jualan yang memberangsangkan daripada Arica bukan sahaja menunjukkan pemahaman kami untuk menyampaikan dan memenuhi permintaan pembeli hartanah hari ini, tetapi juga menyokong cita-cita dan strategi kami yang lebih besar untuk mewujudkan populasi yang mampan di Pulau Andaman dalam jangka panjang.


"Dengan ini, kami sedang mengusahakan rumah bertanah baharu kami di Andaman, yang dijangka akan dilancarkan pada suku keempat tahun kewangan 2024, dengan jangkaan bahawa maklum balas positif yang diterima daripada jualan Andaman akan berterusan," katanya.



E&O yakin capai sasaran jualan hartanah RM500 juta

13 views
bottom of page