Bera: Pembinaan jambatan merentangi Sungai Pahang yang menghubungkan Kampung Guai ke Kampung Seberang Guai, dekat sini, memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk termasuk dari beberapa kampung berhampiran.
Pembinaan Jambatan Al- Sultan Abdullah sepanjang 770 meter itu mula dibina pada 2016 dengan kos sebanyak RM98.5 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Guai, Saifuddin Ibrahim, 57, berkata, selain menghubungkan Kampung Guai dan Kampung Guai Seberang ia turut memberi faedah kepada penduduk kampung berhampiran seperti Ceruk Puting, Mengkuang Ladang dan Batu Bor.
Katanya, kebanyakan penduduk adalah petani dan dengan ada jambatan itu ia sekali gus memendekkan perjalanan ke Bera serta memudahkan penduduk memasarkan hasil pertanian.
"Sebelum ini jika kami ingin ke Bera kami terpaksa melalui Temerloh yang mengambil masa kira kira satu jam setengah. Namun sekarang hanya 15 minit.
"Malah, jalan ini sekarang menjadi laluan utama kepada penduduk dari Negeri Sembilan jika ingin ke Kuantan kerana lebih singkat," katanya.
Pengerusi JPKK Kampung Guai Seberang, Safie Yahya, 57, berkata dengan adanya jambatan ini, ia dapat merapatkan kembali silaturahim penduduk yang terpisah oleh Sungai Pahang.
"Pada era 70-an ramai penduduk mempunyai perahu dan menggunakan kemudahan itu sebagai pengangkutan utama.
"Tetapi pada era 90-an bila adanya jalan raya penduduk tidak lagi menggunakan perahu dan lebih suka menggunakan kenderaan walaupun mengambil masa lama," katanya.
Menurutnya dengan adanya jambatan ini, ia memberi harapan baru kepada penduduk dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) yang melaksanakan projek berkenaan.
"Bagai mimpi disiang hari apabila melihat jambatan ini siap. Impian penduduk kampung selama ini, ingin melihat sebuah jambatan dibina merentasi Sungai Pahang menjadi realiti hari ini," kata Hasnah Saib anak jati Kampung Guai.
Beliau berkata, selama ini penduduk kampung sering berharap sebuah jambatan dibina bagi memudahkan penduduk kampung berurusan dengan jabatan kerajaan atau mendapat rawatan di hospital Bera.
"Sebelum ini, kami terpaksa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh kira kira sejam dari sini.
"Malah jika ada saudara mara kami mengadakan kenduri kahwin, tidaklah mengambil masa seperti dahulu yang terpaksa melalui Temerloh dahulu sebelum ke Bera," katanya.
Bagi penduduk Guai Seberang, Fizza Ismail, 46, berkata dengan adanya jambatan ini, ia akan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
"Kini dapat sudah banyak gerai gerai di tepi jalan tumbuh bagai cendawan. Kalau dahulu hanya penduduk tempatan yang mengunjungi.
"Kedai makan mula meriah bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga orang luar yang singgah untuk menikmati makanan selera tempatan.
"Selain itu penduduk kampung yang menjual hasil pertanian di tepi jalan seperti durian, rambutan, jagung, ubi kayu dan sayuran turut mendapat sambutan dari pengguna jalan raya ini sekaligus dapat meningkat ekonomi penduduk luar bandar," katanya.
Sumber: Harian Metro
Dulu sejam setengah, kini hanya 15 minit
Comments