![](https://static.wixstatic.com/media/a0c008_9a49d5b5cff340229b03c064de18a030~mv2.png/v1/fill/w_980,h_521,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/a0c008_9a49d5b5cff340229b03c064de18a030~mv2.png)
SIBU: Dua projek utama bekalan air di kawasan Bawang Assan telah berjaya disiapkan, sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan air untuk lebih 5,000 penduduk setempat.
Projek pertama melibatkan pembinaan Tangki Simpanan Air di Stesen Pemacu Barat Sibu, yang kini meningkatkan kapasiti simpanan air daripada 300 meter padu kepada 1,300 meter padu.
Pembinaan ini dijangka memberi kesan positif kepada penduduk di kawasan tersebut, khususnya dalam memastikan bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi.
Projek kedua adalah penggantian paip di Jalan Sungai Maaw dan Bawang Assan.
Projek ini berjaya mengurangkan keperluan penghantaran air menggunakan lori tangki daripada 152 perjalanan pada Jun 2024 kepada hanya 17 perjalanan pada Ogos 2024.
Langkah ini turut mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di kawasan tersebut.
Penyiapan kedua-dua projek ini diumumkan semasa lawatan Exco PBB Bawang Assan ke Lembaga Air Sibu (LAS) yang diketuai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong, bersama Penghulu Dennis Ansom serta beberapa pemimpin masyarakat, hari ini.
Lawatan tersebut disusuli dengan sesi dialog bersama Pengurus Besar Sibu LAS Abdul Malik Abdullah@Itin Langit.
Pada sesi tersebut, Abdul Malik menyatakan komitmen pihak LAS untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan bekalan air di kawasan tersebut.
Beliau turut memaklumkan beberapa projek tambahan turut dibincangkan, termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Akut 4MLD di Sungai Sadit untuk menangani masalah kekurangan bekalan air di kawasan sekitar.
Beliau juga memberitahu projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim daripada kapasiti 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300MLD sedang dirancang dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 350,000 penduduk menjelang 2036.
Selain itu, projek pelanjutan paip di Kawasan Sibu Barat juga akan dilaksanakan untuk memperkukuh rangkaian agihan air dan meningkatkan tekanan air di kawasan yang mengalami tekanan rendah.
“Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan oleh LAS untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan sistem bekalan air di Sibu, sejajar dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Comments