top of page

Sarawak perlukan hampir RM20 bilion laksanakan projek bekalan air


Pelan Induk Bekalan dan Grid Air Sarawak
Gambar hiasan: Kerajaan Sarawak meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan bagi mencapai matlamat.

Kuching: Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM19.2 bilion bagi melaksanakan Pelan Induk Bekalan dan Grid Air untuk memastikan 100 peratus kawasan menerima bekalan air bersih menjelang 2030.


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Julaihi Narawi berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 sahaja, sebanyak RM5.9 bilion diperlukan bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air.


Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan bagi mencapai matlamat untuk memastikan keseluruhan kawasan di negeri ini menerima bekalan air bersih dalam tempoh tujuh tahun lagi.


"Bagi melaksanakan projek rakyat di bawah pelan induk itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 bilion untuk melaksanakan program Grid Bekalan Air Sarawak membabitkan 298 projek termasuk yang dilaksanakan di bawah projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS)," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.


Mengulas lanjut, Julaihi berkata, daripada 298 projek itu, 229 sudah siap, 52 projek dijadual siap tahun ini, 12 dijangka siap menjelang 2024 manakala lima lagi projek dalam tender.


"Program Grid Bekalan Air Sarawak memberi impak dalam menangani masalah bekalan air serta tekanan air terutama di kawasan pedalaman Sarawak. Program itu merangkumi beberapa skop utama termasuk kerja menaik taraf 15 loji rawatan air, 42 pam penggalak dan 58 tangki air aras tinggi, serta paip agihan sepanjang 1,969 kilometer.


"Projek yang disiapkan di bawah program itu mampu menyelesaikan isu bekalan air dan air tekanan rendah terutamanya di Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, Eco Garden Sibu, Kuala Balingian, Balingian, Serupai, Ulu Bayan, Pekan Sebauh, pekan Tatau, Beluru, sebahagian daripada Marudi dan bandar Lawas," katanya.


Menurutnya lagi, 14 pakej di bawah SAWAS fasa dua juga suda berjaya disiapkan, manakala lapan pakej masih dalam peringkat pelaksanaan yang akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah.


Sumber: Harian Metro


bottom of page