top of page

Dua pengurus projek dikompaun RM40,000: JKKP Johor


Pegawai JKKP Johor ketika memeriksa salah satu daripada 52 tapak pembinaan di Johor.

JOHOR BAHRU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM40,000 kepada dua pengurus projek di tapak pembinaan di negeri ini kerana gagal mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Akta Kilang dan Jentera (AKJ) 1967.


Pengarahnya, Dasuki Mohd Heak berkata, kompaun dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan di 52 tapak pembinaan di seluruh negeri ini yang dilaksanakan sepanjang 15 Julai hingga 15 Ogos lalu.


"Dua kompaun yang dikeluarkan terhadap pengurus projek ini masing-masing adalah berjumlah RM20,000.

"Dalam pemeriksaan di semua tapak projek ini, kita juga mendapati terdapat operator yang mengendalikan kren tanpa kompetensi dan tiada lifting plan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Dasuki berkata, selain dua kompaun berkenaan, sebanyak 108 lagi kompaun akan dikeluarkan yang mana ia sedang dalam proses untuk mendapatkan persetujuan Timbalan Pendakwa Raya.


“Secara keseluruhannya, terdapat 61 notis pembaikan dan 154 notis larangan turut dikeluarkan pegawai JKKP Johor semasa operasi ini.


"Antara kesalahan yang dikenakan notis termasuk keadaan perancah atau kerja konkrit yang tidak selamat, tepian terbuka dan pekerja yang tidak kompeten,” katanya.


Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap semua pihak di industri pembinaan untuk sentiasa mematuhi peraturan selain menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan dan kawasan berhampiran selamat.


Sumber: Sinar Harian


479 views

Comments


bottom of page