top of page

Dr Maszlee ketuai jawatankuasa perkasa TVET


Gambar hiasan

JASIN: Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diterajui oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai usaha merangka dasar baharu lebih relevan khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata perkara itu diputuskan melalui mesyuarat khas yang dianggotai beberapa menteri di kementerian berkaitan TVET, pada Rabu minggu lalu.


“Sekarang kita fokus untuk memperkasakan TVET (supaya) lebih relevan, menyemak semula keseluruhan keperluannya selain membentuk strategi termasuk peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meluangkan masa bersama penuntut Industri Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, di sini, menerusi sesi dialog selama kira-kira 30 minit.


Kulasegaran berkata, jawatankuasa itu juga dibentuk berikutan beberapa isu yang timbul ketika ini apabila terlalu banyak tawaran kursus pengajian di universiti tetapi gagal memenuhi kehendak pasaran semasa industri.


“Masalah pertama apabila banyak kursus di universiti tetapi tiada pekerjaan di luar berkaitan kursus.


“Kedua, pasaran kerja sudah sedia ada bagi penuntut bidang kemahiran dan ketiga, ini untuk tujuan masa hadapan termasuk pembangunan ekonomi digital, inovasi, dan teknologi kepintaran buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata, penubuhan itu diharap berupaya mencapai hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan iaitu kira-kira 35 peratus pada tahun hadapan berbanding 28 peratus ketika ini.


Mengulas lanjut mengenai perkembangan pembentukan Suruhanjaya TVET, Kulasegaran berkata perkara itu akan diputuskan pada persidangan TVET di Putrajaya, pada 9 Julai depan.



17 views
bottom of page