top of page

Dinosaur Park bakal dibina di Ipoh


Dinosaur Park bakal dibina di Ipoh
Gambar hiasan

Dinosaur Park bakal dibina di Ipoh

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Syarikat PEBEC Berhad hari ini bagi projek pembinaan Dinosaur Park di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini.


MoU itu dimeterai oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin mewakili MBI dengan Pengerusi PEBEC Berhad, Norali Nordin.


Menurut Rumaizi, Dinosaur Park yang meliputi kawasan seluas lebih kurang 2.4 hektar itu merupakan yang pertama terletak dalam Eco Park yang berada di dalam kawasan Geopark Lembah Kinta.


“Buat masa ini, terdapat enam Dinosaur Park yang sedang beroperasi di Malaysia iaitu The TOP (Komtar) di Pulau Pinang; Resort World Genting; Pusat Sains Negara (Kuala Lumpur); Zoo Teruntum (Pahang); Zoo Melaka (Melaka) dan Jurassic Land (Sabah),” katanya di sini hari ini.


Menurut Rumaizi, pembinaan Dinosaur Park di Gunung Lang akan meliputi dua fasa iaitu Fasa 1 yang akan dimulakan sebaik sahaja kesemua pelan diluluskan, dengan tempoh pembinaan adalah antara enam hingga lapan bulan.


Beliau memberitahu, 30 dinosaur statik dan ‘animatronic’ akan ditempat di taman tersebut, selain Learning Centre yang boleh menampung sehingga 100 orang pelajar pada satu-satu masa.


“Ia akan memberi maklumat dan pengetahuan berkenaan habitat, paleontologi dan lain-lain tentang haiwan prasejarah itu. Kedai cenderamata juga akan dibina di sana,” katanya.


Bagi Fasa 2 pula, katanya, ia akan dimulakan di dalam tempoh setahun dari tarikh pembukaan namun bergantung kepada sambutan.


Jelasnya, pembangunan Fasa 2 itu akan merangkumi Teater 3D dan 4D serta kawasan permainan air.


Sumber: Kosmo!


Dinosaur Park bakal dibina di Ipoh

bottom of page