top of page

Didakwa tipu peruntukan kerajaan lebih RM400,000



SEORANG pembantu tadbir kewangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini atas sembilan pertuduhan menipu Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka dengan menyediakan baucer pembayaran palsu lebih RM400,000, sembilan tahun lalu.


Tertuduh, Hairul Rohman Untong, 41, yang berkhidmat di Pra-Penjara Dusun Dato' Murad di Ayer Keroh, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.


Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Hairul Rohman didakwa dengan curang menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucer palsu bagi projek pembinaan dan menaik taraf jalan, parit dan longkang sekitar Melaka Tengah berjumlah RM80,000 pada 13 April serta 3 November 2011.



Pertuduhan ketiga hingga keenam pula, Hairul Rohman bersama seorang penganggur, Kamarulbarin Ab Karim, 44, didakwa dengan curang menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucer palsu bagi projek menurap jalan, menaik taraf dan pembinaan jalan serta longkang di sekitar negeri ini berjumlah RM175,000 antara 26 Julai dan 20 Disember 2011.


Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan pula, tertuduh bersama seorang penganggur, Mohd Ghazali Bidin, 56, didakwa dengan curang menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucer palsu bagi projek menaik taraf jalan dan selenggara balai raya di sekitar daerah Alor Gajah berjumlah RM151,920 antara 13 April dan 27 Disember 2011.


Semua kesalahan itu dilakukan di PPN Melaka dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.


Norma kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Mahkamah turut menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, manakala Hairul Rohman diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar dan Muhammad Fadhli M Sutris, sementara dua tertuduh lagi iaitu Kamarulbarin dan Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.


Sumber: Harian Metro


15 views
bottom of page