top of page

Dayang rancang projek minyak dan gas, pembinaan di Melaka


KUALA LUMPUR: Dayang Enterprise Holdings Bhd (Dayang) menerusi anak syarikatnya, Dayang Enterprise Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat milik kerajaan negeri Melaka, PKNM Energy Sdn Bhd (PKNM) dan Main Velocity Sdn Bhd (MVSB) untuk melaksanakan projek berkaitan minyak dan gas serta pembinaan di negeri itu.


Ia termasuk meneroka, mendapatkan dan mengendalikan mana-mana projek di Melaka dalam sektor tenaga, kejuruteraan dan kerja awam.


Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Dayang yang juga penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas berkata, PKNM adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka manakala MVSB terbabit dalam projek seperti pemasangan paip dan penyelenggaraan industri petrokimia.


“Kedua-dua pihak akan terus berunding satu sama lain dan melaksanakan lebih terperinci dan muktamad mengenai perjanjian yang berkaitan selepas itu.


“MoU akan mula berkuatkuasa pada tarikh menandatangani MoU (12 Mac) dan berkuat kuasa selama tempoh enam bulan atau sehingga perjanjian yang relevan dilaksanakan, mana lebih awal,” demikian menurut syarikat itu.


Bagaimanapun, Dayang berkata, kerjasama itu tidak boleh ditafsirkan sebagai syarikat usahasama atau urusan perniagaan.


“MoU ini tidak mengikat mana-mana pihak,” kata syarikat itu.


Menerusi kerjasama itu, semua pihak bersetuju, PKNM akan membantu dalam mendapatkan sumber tempatan yang terbabit dengan projek berkaitan dan mengawasi serta memantau perancangan dan kemajuan cadangan kepada projek yang dilaksanakan.


Dayang pula bertanggungjawab sepenuhnya terhadap strategi perniagaan dan memperoleh kelulusan, lesen, permit dan lain-lain perkara berkaitan.


Sementara itu, MVSB bertanggungjawab sebagai pakar strategi pembangunan perniagaan, penyelaras perniagaan untuk projek berkaitan.



102 views
bottom of page