top of page

Datuk Bandar MBSA mahu fokus isu banjir


Datuk Bandar MBSA mahu fokus isu banjir Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Datuk Bandar MBSA mahu fokus isu banjir

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu memenuhi sasaran indeks daya huni Malaysia sebagaimana yang dianjurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilancarkan tahun lalu.


Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata, besar harapan masyarakat Shah Alam untuk memiliki dan membina kehidupan yang boleh didiami atau berdaya huni dengan selamat, maju serta mampan.


"Antara kriteria utama adalah kualiti persekitaran mampan dan selamat serta infrastruktur asas berkualiti.


"Kita sedia maklum Shah Alam dilanda musibah banjir akhir tahun lalu, oleh itu kita perlu mempergiatkan program mitigasi banjir seperti Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASUD) sebagaimana dilancarkan.


"Melalui Jabatan Kejuruteraan MBSA, pelaksanaan awal SASUD dilaksanakan secara jangka pendek dan berfasa, fasa satu 30 projek dan fasa dua 19 projek," katanya ketika mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke 10, di sini hari ini.


Nor Fuad berkata, pelan pelaksanaan projek itu terbahagi kepada tujuh lembangan iaitu Lembangan Sungai Kandis, Sungai Rasah, Sungai Renggam, Sungai Binjai/Sungai Puloh, Sungai Buloh, Sungai Air Kuning/Sungai Damansara dan Sungai Rasau.


Beliau berkata, sebanyak empat projek bagi SASUD sudah diluluskan oleh kerajaan Negeri dalam usaha mengatasi masalah banjir di kawasan pentadbiran MBSA.


"Antaranya, cadangan naik taraf rumah pam di Seksyen 13 dan Seksyen U1, membina rumah pam di Persiaran Aman dan kerja-kerja infrastruktur di Taman Sri Muda Seksyen 25.


"Cadangan membina rumah pam di Jalan Saksama 25/29 dan Jalan Khidmat 25/35, cadangan baik pulih dan naik taraf sistem pembetungan di sebahagian Kampung Bukit Naga Seksyen 32," katanya.


Katanya, projek-projek itu sudah diiklankan secara tender dengan jumlah kos sebanyak RM14.64 juta.


"Melalui pelaksanaan projek SASUD, ini akan memberi harapan kepada penduduk Shah Alam terutama di kawasan 'hotspot' banjir yang menerbitkan rasa selamat untuk mendiami Shah Alam," katanya.


Terdahulu, Nor Fuad mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke 10 menggantikan Datuk Zamani Ahmad Mansor.


Anak kelahiran Selangor itu berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Keusahawanan, dari Universiti York, England, United Kingdom dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).


Beliau menyertai perkhidmatan awam pada 15 Januari 1996 dan berkhidmat di beberapa kementerian antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, serta Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).


Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Oktober 2019 sebelum dilantik ke jawatan Datuk Bandar Shah Alam mulai 1 Disember lalu.


Sumber: Harian Metro


3 views

Comentários


bottom of page