top of page

Datuk Bandar KL berkuasa pinda projek bercanggah dengan PBRKL 2020


JALALUDDIN ALIAS

PUTRAJAYA: Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai kuasa untuk mempertimbang sebarang cadangan pembangunan yang tidak selaras dengan ketetapan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) bagi melaksanakan projek pembangunan di ibu negara.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia selaras dengan Seksyen 17 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) yang memberi kuasa kepada Datuk Bandar untuk membuat perubahan, penambahan, penyemakan, pemansuhan atau penggantian terhadap pelan tempatan.


“Pelaksanaan perubahan pelan tempatan adalah sepertimana peruntukan Seksyen 13 (penyediaan draf pelan tempatan), Seskyen 14 (publisiti berkenaan dengan draf pelan tempatan), Seksyen 15 (penyiasatan dan perbicaraan berkenaan dengan draf pelan tempatan) dan Seksyen 16 (Penerimaan draf pelan tempatan) Akta 267.


“Oleh yang demikian sekiranya terdapat cadangan pembangunan yang tidak selaras dengan ketetapan dalam pelan warta tetapi bersesuaian untuk dipertimbangkan, Datuk Bandar boleh melaksanakan proses perubahan kepada pelan tempatan tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya dalam persidangan Dewan Negara hari ini.


Terdahulu, Mohd. Hisamudin membangkitkan soalan bagaimanakah sesuatu projek pembangunan boleh diberi perintah pembangunan beserta dengan nisbah plot yang tinggi di atas tapak yang kecil, yang mana ia bercanggah dengan PBRKL 2020.


Menurut Jalaluddin, kelulusan perintah pembangunan hanya boleh dikeluarkan setelah proses perubahan kepada pelan tempatan tersebut selesai dilaksanakan dan dipertimbangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat.


Jalaluddin berkata, PBRKL2020 diwartakan pada Oktober 2018 dan menerusi pewartaan itu, semua pembangunan mesti mematuhi ketetapan dalam pelan tersebut termasuk kegunaan tanah dan intensiti pembangunan.


Sehubungan itu, katanya, permohonan kebenaran perancangan selepas PBRKL 2020 diwartakan hanya akan diluluskan setelah mematuhi ketetapan PBRKL 2020 serta mematuhi kehendak-kehendak perancangan dan keperluan-keperluan teknikal.


“Kelulusan sesuatu projek pembangunan bukan hanya berdasarkan kepada saiz tapak tetapi berdasarkan kepada faktor kesesuaian lokasi, keadaan fizikal tapak, aksesibiliti, keupayaan infrastruktur dan utiliti, ketersediaan kemudahan masyarakat serta keselarasan dengan kawasan sekitar.


“PBRKL 2020 menetapkan semua plot tanah di Kuala Lumpur dengan zon guna tanah dan intensiti pembangunan, oleh itu, kegunaan dan intensiti pembangunan yang dibenarkan hendaklah mematuhi ketetapan dalam pelan warta tersebut bagi setiap lot tanah tanpa mengira saiz,” ujarnya.


25 views

Comentários


bottom of page