top of page

Dasar pembangunan lestari, integriti jimat lebih banyak wang


Peningkatan inflasi dan kejatuhan kadar pertukaran ringgit
Gambar hiasan

Peningkatan inflasi dan kejatuhan kadar pertukaran ringgit

Kemelut ekonomi dihadapi negara antara lain disebabkan hutang semakin meningkat, terutama ketika pandemik COVID-19 memuncak. Pelaksanaan kawalan pergerakan merencat banyak aktiviti ekonomi dan rakyat mula mengeluh kesempitan dihadapi.


Bagi melawan kitaran ekonomi merosot, kerajaan ketika itu bukan sahaja terpaksa berbelanja lebih banyak untuk membantu rakyat, bahkan mendapatkan bekalan ubat dan vaksin.


Kesannya, semakin dilihat dan dirasai pada hari ini, antaranya peningkatan inflasi dan kejatuhan kadar pertukaran ringgit. Peningkatan inflasi berlaku disebabkan peningkatan perbelanjaan kerajaan. Ini dapat dilihat daripada data pertumbuhan ekonomi pada suku kedua dan ketiga 2022 apabila meningkat mendadak kepada lebih 9 peratus.


Penggunaan rakyat juga meningkat sangat ketara, menyebabkan wang di pasaran meningkat dengan banyak, sedangkan barangan keperluan semakin berkurangan, akhirnya berlaku kenaikan harga sangat sig- nifikan.


Berdasarkan teori ekonomi kapitalis, mereka akan mengesyorkan Bank Negara menaikkan kadar faedah untuk melawan inflasi dan menarik balik bekalan wang berlebihan dalam pasaran.


Ini dasar digunakan Bank Negara yang menganggap kenaikan kadar bunga sebagai 'ubat' untuk melawan inflasi dan 'dos' kadar bunga ini akan ditambah jika inflasi masih degil untuk turun.


Kesan inflasi ini menyebabkan nilai benar jatuh, iaitu pendapatan kita terima sekarang jatuh nilainya kerana tidak dapat lagi membeli kuantiti barangan dan perkhidmatan sama sebelum berlaku inflasi. Sebab itu, kedengaran suara lantang daripada kesatuan sekerja menuntut majikan menaikkan gaji pekerja supaya pendapatan lebih kurang sebelum inflasi dapat diperoleh.


Kesan inflasi ini tidak berhenti di sini sahaja, malah ia melarat kepada nilai mata wang negara. Sebab itu kita dapat lihat dengan jelas berlaku kejatuhan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika. Ini menyebabkan setiap barangan dan perkhidmatan kita beli dari luar meningkat harganya. Akhirnya, kesan rantaian inflasi semakin mencengkam rakyat.


Tidak dinafikan, untuk membentuk satu dasar fiskal berkesan bukan satu tugas mudah. Kerencaman tingkah laku manusia, peningkatan darjah ketidaktentuan dan data raya terlalu banyak menjadikan setiap ramalan, jangkaan, analisis serta strategi dasar berubah dengan sangat cepat. Oleh itu, menggunakan dasar fiskal lama sudah tidak berkesan dalam menangani banyak masalah ekonomi sekarang.


Kerangka belanjawan berteraskan prinsip MADANI dilihat dapat dijadikan asas dalam memformulasikan belanjawan negara yang akan dibentang nanti. Berteraskan enam rukun utama, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan dapat dijadikan panduan dalam merangka belanjawan baharu negara.


Dasar pembangunan mampan


Negara perlukan satu dasar pembangunan mampan yang bukan hanya melihat keperluan hari ini, bahkan menjamin kestabilan untuk generasi akan datang. Kemusnahan alam sekitar atas dasar pembangunan perlu dilihat secara lebih cermat dan berhati-hati.


Kita tidak menghalang pembangunan, tetapi dengan memusnahkan hutan dan hasil yang ada di dalamnya adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Kemusnahan hutan tidak dirawat akan menyebabkan masalah banjir dan tanah runtuh yang boleh mengorbankan nyawa manusia dan merosakkan harta benda, sekali gus memusnahkan segala khazanah dalam hutan yang sangat berharga.


Negara dapat menjimatkan berbilion ringgit sekiranya masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Kerajaan tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk membantu mangsa banjir dan rakyat tidak mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda.


Hutan dapat dijadikan sumber utama dalam menjamin kebersihan udara yang kita bernafas setiap hari dan pasti ia dapat mengurangkan penyakit disebabkan pencemaran udara.


Penjimatan ini jika diukur dengan nilai wang pasti sangat besar. Inilah konsep kecekapan peruntukan sumber dan kemampanan perlu diterapkan dalam belanjawan baharu.


Sumber negara sebelum ini digunakan untuk mengatasi masalah banjir, pencemaran dan mengubat penyakit kini dapat digunakan untuk tujuan lain. Jadi, kerajaan sebenarnya tidak perlu menaikkan cukai, sebaliknya dasar penjimatan berteraskan konsep kemampanan ini sebenarnya sumber baharu yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.


Prosedur meluluskan projek pembangunan yang membabitkan kemusnahan alam sekitar perlu diteliti semula. Sementara itu, kriteria Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu dinilai kembali, manakala sebarang kelemahan, terutama berkaitan kelulusan terdedah kepada salah laku dan rasuah perlu ditangani.


Negara sudah kehilangan berbilion ringgit disebabkan rasuah. Wang ini jika dapat diselamatkan, ia adalah sumber baharu yang kerajaan dan rakyat dapat gunakan dinikmati bersama, bukan oleh segelintir kelompok.


Dasar hanya bergantung kepada hukuman mungkin tidak lagi berkesan. Sebaliknya, pemahaman rakyat terhadap konsep kesejahteraan bersama, negara bertuah ini adalah milik kita bersama, ia perlu dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang, hormat menghormati sesama insan, bertimbang rasa, menghargai alam sekitar dan nyawa perlu diterapkan dalam kehidupan.


Konsep ini perlu digarap secara halus dan lembut dalam belanjawan negara. Ini adalah cabaran kepada semua rakyat untuk sama-sama mengembalikan negara di landasan betul dan hasilnya kita nikmati bersama.


Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM)


Sumber: Berita Harian


2 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page