Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara dilancar


SEPANG : Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) dilancarkan pada Rabu bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.


Ia merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP) 2016-2020, bertujuan melindungi hak asasi pekerja untuk mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif. 


Dasar itu telah diluluskan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri serta ditandatangani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Januari lalu.


Melancarkan pelan itu pada satu majlis malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.


"Apabila DKKPN dilancarkan, maka ia akan menjadi titik tolak kepada perubahan landskap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara kita.


"Jika sebelum ini, komitmen terhadap isu KKP ini hanya lantang disuarakan oleh pihak kerajaan tetapi selepas ini, pihak majikan dan pekerja juga akan bersama-sama komited dalam meningkatkan tahap KKP di tempat kerja mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 dan pelancaran DKKPN di sini.


Menurutnya, DKKPN tersebut juga akan memandu kepada pematuhan perundangan KKP oleh semua pihak.


Pada masa sama, beliau berharap majikan dan pekerja akan dapat mematuhi dasar berkenaan.


"Jika tidak, ini boleh mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan KKP dan tindakan punitif akan diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan dalam menguatkuasakan perundangan KKP yang dipertanggungjawabkan," kata Dr Wan Azizah lagi.


Malah, tambahnya, ia akan mewujudkan situasi menang-menang dengan melindungi pekerja daripada sebarang risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #JKKP #keselamatan

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.