top of page

Dalang sindiket pemalsuan dokumen ditahan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai dalang sindiket pemalsuan pasport dan permit kerja warga asing ditahan dalam Op Serkap di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, di sini semalam.


Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu yang mendapati lokasi tersebut dijadikan markas memproses dan memalsukan pasport, permit kerja serta i-kad.


Menurutnya, operasi kira-kira pukul 10 malam itu mendapati sindiket yang didalangi suspek berusia lingkungan 30-an itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang terutamanya di kawasan Bukit Bintang sejak dua tahun lalu.


"Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoritinya terdiri daripada individu warga Bangladesh yang mempunyai masalah permohonan atau lanjutan permit kerja terutamanya dari sektor pembinaan, perkhidmatan serta perkilangan.


"Siasatan juga mendapati sindiket terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan mengeluarkan pasport antarabangsa, pas atau permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), i-kad dan kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu dengan kadar bayaran antara RM110 hingga RM800 bagi setiap dokumen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, pihaknya percaya masih terdapat dua lagi warga Bangladesh yang terbabit dengan kegiatan sindiket berkenaan dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.


Tambahnya, dalam operasi ini, pelbagai barang dirampas antaranya dua buah komputer mengandungi maklumat dokumen dan pelekat keselamatan Imigresen, tiga mesin pencetak, 40 cetakan muka surat pasport negara Bangladesh dan empat cetakan PLKS.


"Kita percaya sindiket ini mampu mengaut keuntungan berjumlah RM15,000 sebulan dengan purata tempahan ditawarkan secara pakej," katanya.


Tegas Hamidi, mana-mana warga asing tidak akan terlepas sekiranya mereka dikesan memiliki pas atau permit PLKS palsu ini.


"Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 12(1)(a) akta yang sama," katanya. - UTUSAN ONLINE



8 views
bottom of page