Dah sembilan tahun terbengkalai, nak tunggu apa lagi?


Cai Tung (tengah) bersama pembeli bergambar bersama semasa pertemuan tersebut di sini hari ini. (Gambar kecil: Steven)

PASIR GUDANG - "Pembeli membayar ansuran rumah selama sembilan tahun tetapi sampai sekarang mereka tak dapat duduki rumah itu kerana banyak sangat masalah," demikian menurut Wakil penduduk Taman Seri Molek Perdana, Steven Robben, 32.


Mewakili kira-kira 1,000 pembeli rumah tersebut, Steven berkata, rumah yang dibeli sudah terbengkalai sejak awal lagi.


"Sejak diisytiharkan sebagai projek sakit beberapa tahun lalu, kebanyakan pembeli akhirnya menarik nafas lega apabila dijanjikan pemaju perumahan itu boleh diduduki menjelang Mac tahun ini.


"Tapi... sehingga kini keadaan unit rumah tersebut masih dibiarkan terbengkalai selain diberikan pelbagai alasan daripada pemaju.


"Rumah ini adalah kediaman kos rendah, jadi kebanyakan daripada pembeli bukan daripada keluarga berkemampuan. Rumah sewa kena bayar, rumah ini yang belum siap pun kena bayar," katanya kepada pemberita semasa pertemuan bersama wakil rakyat di kawasan pembinaan perumahan berkenaan di sini hari ini.

Jelasnya, keadaan itu membuatkan mereka tidak mampu lagi untuk bersabar dan terus mendengar alasan daripada pemaju dan kontraktor.


"Kami bagaimana pula? Rumah ini bukan boleh dijual, kalau tak bayar dengan bank nama kami pula disenaraihitam," katanya.


Steven berkata, melihat kemelut yang terus berpanjangan itu, pihaknya kini hanya bergantung harap kerajaan Johor untuk menyediakan solusi lain bagi mengatasi permasalahan tersebut.


"Kita dah jumpa macam-macam pihak... kali ini sekali lagi kita mohon campur tangan kerajaan negeri untuk percepatkan proses.


"Sekarang ini rumah dah ada, cuma berapa peratus lagi tidak siap dan harap ia dapat diatasi.


"Kalau kerajaan negeri ambil alih pun bagus, sebab masalah ini kami difahamkan adalah disebabkan proses antara pemaju dan kontraktor," jelasnya.


Sementara itu, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, perbincangan berhubung projek berkenaan telah dibincangkan bersama Jabatan Perumahan Negara di Putrajaya hari ini.


Katanya, perbincangan itu melibatkan tiga pengisian utama iaitu tuntutan pembeli dengan pemaju, tuntutan kontraktor dengan pemaju dan bila tarikh khusus perumahan ini boleh disiapkan sepenuhnya.


"Semua akan dibincang dan makluman mengenai hasil perbincangan ini kita akan berikan kepada pembeli dalam satu pertemuan yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

"Kerajaan negeri faham dengan kesusahan pembeli, tetapi ia mengambil sedikit masa kerana banyak projek sakit di Johor yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini, kita akan cuba sedaya upaya," katanya.


Untuk rekod, projek berkenaan pada mulanya dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan dijadualkan siap pada Mei 2013, namun kemudian dijual kepada Cosmic Master Development pada 2015.


Projek itu melibatkan enam blok kediaman, masing-masing unit berkeluasan 700 kaki persegi hingga 2,000 kaki persegi serta pelbagai kemudahan kolam renang, yang dijual antara RM50,000 dan RM250,000.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #kontraktor

11 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.