GEORGETOWN: Semua pekerja warga asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan di negeri ini diwajibkan membuat ujian saringan COVID-19 bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata pihaknya akan melakukan pemantauan ke tapak pembinaan dan kilang di negeri ini bagi menjalankan pemeriksaan.
Sekiranya mereka gagal mengemukakan bukti ujian saringan, tindakan tegas membabitkan undang-undang akan diambil.
"Ujian saringan itu bukan sahaja terhadap pekerja di sektor berkenaan tetapi juga kepada lain-lain perniagaan termasuk dalam bidang makanan dan minuman.
"Sehingga kini seramai 51,208 pekerja warga asing sudah dikenal pasti di kedua-dua sektor berkenaan di negeri ini," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Jagdeep ditemui ketika mengadakan pemantauan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja warga asing di Padang Polo, dekat sini. Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.
Seramai 12,436 pekerja warga asing di negeri ini yang bekerja di 109 tapak pembinaan di bahagian pulau dan 127 di Seberang Perai manakala seramai 36,772 lagi di sektor perkilangan.
Sementara itu Tung Seang berkata, kemudahan pusat ujian saringan COVID-19 di Padang Polo itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disediakan bagi melancarkan pergerakan pekerja warga asing berkenaan.
Inisiatif menyediakan kemudahan pusat ujian saringan itu menjadi perintis di negeri ini dan kos ujian ditanggung majikan masing-masing.
Katanya, diharap pekerja warga asing yang sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif, dapat menjaga pergerakan masing-masing bagi memastikan negeri ini bebas daripada penularan COVID-19.
"Pada hari ini seramai 270 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan mereka atau pihak majikan boleh sahaja ke klinik panel dan yang berdekatan bagi menjalani ujian itu.
"Pusat ini akan beroperasi selama sebulan bagi memudahkan pergerakan pekerja warga asing melakukan ujian," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commenti