top of page

COVID-19: Kontraktor ingkar perlu diambil tindakan


Gambar hiasan. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kontraktor yang dibenar menjalankan kerja binaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan sebarang keingkaran perlu diambil tindakan segera.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata pematuhan itu termasuk cadangan prosedur pembersihan rapi yang perlu dilaksanakan di setiap tapak projek pembinaan, terutama di laluan masuk utama dengan menyediakan Body Disinfection Chamber (BDC).


“Ini akan memastikan saringan ujian jangkitan pekerja tapak binaan dapat dilakukan pada setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi kebenaran beroperasi kepada beberapa lagi sektor penting termasuk automotif dan pembinaan.


Azman berkata, pematuhan SOP juga perlu merangkumi cara kerja lebih terjamin kepada sebarang risiko jangkitan COVID-19 dengan pekerja binaan juga sentiasa diberi penerangan terhadap aspek pencegahan wabak tidak kira di tapak binaan atau di rumah.


“Apa saja usaha dan tindakan pencegahan, menjadi keutamaan kami dalam memastikan industri ini bebas daripada segala jangkitan.


“Amaran keras juga kepada semua ahli kontraktor supaya tidak ambil mudah dengan kebenaran beroperasi diberikan dan tidak ingkar dengan segala SOP ditetapkan pihak berkuasa.


“Sebarang keingkaran perlu dikenakan tindakan undang-undang segera kerana ia hanya mengakibatkan risiko kepada negara untuk berdepan masalah penyebaran wabak lebih serius lagi,” katanya.


Katanya, penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) juga perlu memperketatkan pemeriksaan, selain kerap membuat pemantauan di semua tapak binaan di setiap negeri.


“Pekerja di tapak binaan juga sebaiknya menjalani ujian saringan COVID-19 dan mereka yang melepasi saringan akan diberikan kad pelepasan khas oleh CIDB bagi memastikan tapak binaan bebas COVID-19,” katanya.


Azman berkata, kebenaran beroperasi ini secara langsung membantu aliran tunai dan kos operasi syarikat terbabit.


“Di samping dapat menjamin pemulihan perniagaan pembangunan untuk kekal mampan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan penyelenggaraan bangunan selepas tempoh PKP berakhir kelak.


“Susulan pengumuman kebenaran beroperasi, PKBM berharap ia dapat membantu meringankan beban kewangan syarikat.


“Seterusnya ia dapat menjamin pekerja dalam sektor pembinaan untuk terus mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap bagi kelangsungan masa depan selepas wabak melanda dunia ini reda kelak,” katanya.


Beliau memohon pertimbangan kerajaan untuk turut memberi kebenaran beroperasi sama kepada kontraktor kelas G3, G4 dan G5 untuk meneruskan pelaksanaan projek yang sudah beroperasi dan disahkan mencapai kemajuan fizikal sebanyak 70 peratus dan ke atas.


Katanya, pihaknya berterima kasih dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Datuk Seri Fadillah Yusof kerana mendengar keluhan dan rintihan pihaknya selama ini terhadap permasalahan yang membelenggu kontraktor tempatan.



10 views
bottom of page