top of page

COVID-19: Kerja pembinaan, penyelenggaraan dihenti


Gambar hiasan - Terowong Kuantan sepanjang 2.8 Kilometer untuk projek ECRL. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

KUALA LUMPUR: Semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan dalam sektor pembinaan perlu dihentikan kecuali kerja kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan hingga 31 Mac ini.


Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya, pengecualian hanya diberi kepada kerja kritikal yang jika tidak diteruskan, boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran.


Pengecualian itu bagaimanapun perlu terlebih dulu mendapat syor daripada pegawai penguasa atau pengarah projek bagi projek kerajaan dan jurutera residen atau orang utama yang mengemukakan (PSP) bagi projek swasta.


“Contoh kerja kritikal yang boleh mendapat pengecualian ialah pembaikan cerun, penampalan lubang di bawah tanah, Pusat Pemantauan Trafik (TMC), pemeriksaan berkala dan pembaikan lif, eskalator, peralatan mekanikal dan elektrikal kritikal termasuk yang rosak serta pembaikan lampu trafik.


“Selain itu, kerja penyenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal, pembinaan jambatan Bailey di lokasi jambatan roboh, kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak dan kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya turut dikecualikan, ” katanya kenyataan itu.


Pada masa sama, mengikut kenyataan itu, selepas mendapat syor, permohonan pengecualian perlu diserah kepada pihak yang mempunyai kuasa memberikan kebenaran itu berdasarkan bidang kuasa masing-masing.


Mereka ialah Ketua Pengarah Kerja Raya, Pengarah Kerja Raya Sabah, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak berkuasa negeri.


“Bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan yang dihentikan, kontraktor tidak boleh membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan atau dipertanggungjawabkan atas kerugian dialami kerana penyebaran wabak ini di luar kawalan.


“Berkenaan sama ada projek terkesan dengan pelaksanaan perintah ini boleh diberi perlanjutan masa, ia bagaimanapun bergantung kepada klausa kontrak ditandatangani,” katanya.


Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline di 03-5567 2777 (Unit Aduan Industri) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.



10 views
bottom of page