top of page

COVID-19: Asingkan segera pekerja di tapak pembinaan, elak penularan



KUALA LUMPUR: Individu termasuk warga asing yang dibenarkan meneruskan kerja pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perlu diasingkan secepat mungkin bagi mengawal penularan COVID-19.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata golongan berkaitan perlu ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) disediakan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memastikan tidak timbul lagi isu kluster wabak itu di tapak pembinaan.


Katanya, CLQ CIDB bukan saja memiliki kemudahan dan fasiliti lengkap seperti kantin, kedai dan asrama, malah ia memudahkan saringan kesihatan dilakukan jika ada antara mereka dikesan positif wabak itu.

"Namun, kos penginapan sementara ini mesti ditanggung kontraktor dengan CIDB boleh mengenakan caj yang minimum kepada mereka.


"Pada masa sama, kerajaan boleh menambah lagi kawasan pembinaan penempatan seperti ini untuk keselamatan pekerja pada masa akan datang.


"Memandangkan tempat yang terhad di CLQ, kontraktor boleh menyewa pusat latihan yang menyediakan kemudahan asrama serta fasiliti lengkap kepada pekerja untuk tempoh tertentu sepanjang PKPB.


"Ia sehingga penyebaran wabak terutama yang membabitkan pekerja asing dapat dikawal sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Azman berkata, majikan juga boleh menempatkan pekerjanya di kabin sekitar kawasan tapak pembinaan.


"Ia dengan syarat kawasan penempatan kabin itu hanya dihadkan enam orang sahaja.


"Semua kontraktor terbabit dinasihatkan meneruskan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) terhadap semua pekerja asing dengan melakukan ujian saringan COVID-19, pemeriksaan suhu badan, penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman," katanya.


Semalam, Kementerian Kesihatan dilaporkan, mengesan tiga kluster membabitkan tapak pembinaan yang kini sudah menjangkiti 88 individu yang kebanyakannya warga asing.


Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik berkata antara kluster yang dikesan ialah kluster pembinaan Kuala Lumpur iaitu 31 kes sudah dikesan positif COVID-19.



7 views
bottom of page