top of page

Cosmos sasar jana RM22.44 juta modal dari IPO


Cosmos sasar jana RM22.44 juta modal dari IPO Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: IPO

KUALA LUMPUR: Cosmos Technology International Bhd (Cosmos) menyasarkan untuk mengumpul RM22.44 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Oktober ini.


Penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu itu terlibat dalam pengedaran dan perkhidmatan instrumentasi produk kawalan bendalir dan pembuatan produk logam fabrikasi untuk aplikasi perindustrian yang digunakan dalam industri air, air sisa serta minyak dan gas.


Pengarah Urusan Datuk Chong Toh Wee berkata, daripada jumlah hasil itu, syarikat merancang memperuntukkan RM10 juta bagi pembelian kilang berkembar terdiri daripada kemudahan pejabat dan gudang di Balakong, Selangor dan RM3.5 juta untuk pembelian mesin baharu.


"Pembelian bangunan baharu akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini dan mula beroperasi dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian kami.


"Kami juga akan membeli mesin baharu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran merangkumi pemotongan input laser, pemotongan tiub paip dan peralatan kimpalan robotik," katanya kepada media di majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu hari ini.


Selain itu, Chong berkata sebanyak RM1.5 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.44 juta untuk modal kerja, manakala baki RM3 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.


Beliau berkata, keupayaan syarikat dalam menghasilkan produk fabrikasi logam yang ditempah dan menggunakan teknologi dan penyelesaian berasaskan perisian untuk manfaat pelanggan telah membantu meningkatkan rekod prestasi Cosmos yang baik selama ini.


"Prospek yang menggalakkan bagi industri minyak dan gas, air dan air sisa disebabkan oleh permintaan yang meningkat akan memacu pertumbuhan pasaran kawalan bendalir, produk telemetri dan produk fabrikasi logam," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Datuk Phang Ah Tong optimis tentang prospek masa depan Cosmos, disumbangkan oleh peluang yang wujud dalam sektor operasinya, disokong oleh kekuatan dan kelebihan daya saing syarikat.


"Kami menjangkakan kerajaan akan melancarkan lebih banyak projek air seperti menaik taraf dan membina loji rawatan air dan penggantian paip air yang sudah tua sebagai sebahagian daripada matlamat negara untuk menurunkan paras air tidak berhasil kepada 25 peratus menjelang 2025.


"Selain itu, bingkai logam untuk bahagian penapis mendapat manfaat daripada peluang yang semakin meningkat dalam rantaian nilai industri minyak dan gas, yang dijana oleh perbelanjaan modal yang besar yang diperlukan untuk mengewangkan penemuan minyak dan gas baharu," katanya.


Syarikat itu mempunyai dua anak syarikat, iaitu Cosmos Instruments Sdn Bhd dan Marc Conleth Industries Sdn Bhd.


IPO Cosmos terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.13 juta saham baharu, yang mana 12.83 juta saham adalah untuk permohonan rakyat Malaysia melalui pengundian dan 7.89 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat itu.


Sebanyak 11.36 juta saham lagi akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur yang terpilih, manakala 32.06 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Pada harga terbitan 35 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 256.5 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM89.78 juta selepas penyenaraiannya.


Permohonan untuk IPO Cosmos dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 22 September 2022.


Sumber: Berita Harian


Kommentare


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page