top of page

CORE Residence @ TRX tarik pembeli dari 25 negara


CORE Residence @ TRX tarik pembeli dari 25 negara
Projek CORE Residence @ TRX

CORE Residence @ TRX tarik pembeli dari 25 negara

KUALA LUMPUR: CORE Residence @ TRX, projek hartanah berprestij di Tun Razak Exchange (TRX) terus mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sekali gus menunjukkan permintaan tinggi untuk hartanah di kawasan itu.


Pengerusi dan Pengarah Urusan CORE Precious Development Sdn Bhd, Zhang Bao, berkata CORE Residence @ TRX sedang menarik pelabur dari seluruh dunia, dengan pembeli berasal dari lebih 25 negara termasuk Malaysia, China, Singapura, Korea Selatan dan Jepun.


Beliau berkata, langkah pembukaan semula ekonomi China turut memberi manfaat kepada kumpulan dengan lonjakan pertanyaan minat daripada bakal pembeli China.


"Kumpulan berbangga kerana mencapai kadar langganan sebanyak 80 peratus. Kami menjangkakan dapat menjual semua unit menjelang akhir tahun ini.


"Kami juga kekal di landasan untuk menyiapkan CORE Residence @ TRX menjelang akhir 2023 dan berharap untuk menyerahkan hartanah yang telah siap tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


CORE Precious Development Sdn Bhd adalah usaha sama antara China Communications Construction Group (CCCG), syarikat Fortune Global 500 dengan WCT Holdings Bhd yang juga syarikat kejuruteraan, pembinaan dan pemaju hartanah terkemuka Malaysia.


Mengulas lanjut, Bao berkata, kumpulan juga selesai memasang jambatan bersambung pertama yang menghubungkan kediaman itu dengan akses langsung secara eksklusif ke TRX City yang dijangka memberi nilai tambah baharu kepada keseluruhan projek.


Beliau berkata, pemasangan jambatan bersambung itu adalah pencapaian utama projek pembinaan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion itu.


Katanya, jambatan itu akan menggabungkan CORE Residence @ TRX ke dalam struktur TRX City, menyediakan pautan penting untuk CORE Residence @ TRX untuk ke mercu baharu Kuala Lumpur terbabit serta ketersambungan ke seluruh Lembah Klang.


"Dengan kejayaan struktur dan kejuruteraan awam, jambatan bersambung itu mempunyai lebar yang menjangkau dua lorong kereta dan lebih daripada tiga tingkat dari atas tanah.


"Struktur besar itu dibuat di luar tapak, kemudian diangkat ke tapak dengan kren. Setelah berada di kedudukannya, jambatan itu telah dipasang oleh pasukan pembinaan CORE Precious Development.


"Setelah siap, jambatan bersambung itu akan dihidupkan dengan landskap taman teres, membentuk hubungan yang lancar dengan falsafah seni bina TRX City Park," katanya.


TRX City Park akan menjadi taman atas bumbung seluas 10 ekar (4.05 hektar) yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.


Sumber: Berita Harian


CORE Residence @ TRX tarik pembeli dari 25 negara


Comments


bottom of page