TRX City mahu manfaat peluang kenaikan harga tanah


KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd (TRX City), pemaju induk Tun Razak Exchange (TRX) tidak akan tergesa-gesa untuk membuka tender bagi baki 30 peratus tanah projek berkenaan kerana bakal terlepas peluang kenaikan harga tanah jika berbuat demikian.


Ketua Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata tumpuannya sekarang ini adalah untuk menyiapkan fasa pertama pembangunan infrastruktur di projek wilayah kewangan mega itu.


“Semuanya tertakluk kepada strategi perniagaan, jika pasaran tidak begitu bagus, mengapa kami harus menjualnya sekarang.


“Sehubungan itu, pada masa ini kami meletakkan tumpuan utama untuk menyiapkan kemudahan infrastruktur yang dijangka siap tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Pemeteraian Perjanjian Hartanah Bersama (CEA) dengan tujuh pemilik plot TRX di sini, hari ini.


Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.


Sebanyak tujuh pemilik plot menandatangani CEA itu iaitu Lendlease; Mulia Property Development; HSBC; CORE Precious Development Sdn Bhd; Affin Bank Bhd; IJM Corp Bhd dan Urusharta Jemaah Sdn Bhd.


Sehingga kini, 70 peratus daripada 28.32 hektar tapak projek berkenaan sudah mempunyai pemilik.


Azmar berkata, walaupun menerima banyak pertanyaan dan ramai pihak menunjukkan minat untuk memiliki tanah berkenaan, TRX City tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya.


“Ini adalah projek mega jadi semua pihak yang berminat perlu melalui proses tadbir urus yang betul bagi memastikan integriti projek ini diuruskan dengan baik.


“Selain peserta tempatan, peserta antarabangsa turut menunjukkan minat terhadap baki tanah ini dan semuanya akan dibuat menerusi protokol yang betul,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai pembangunan infrastruktur bagi projek berkenaan, Azmar berkata TRX City sudah melepasi fasa perancangan dan komersial dan kini sedang berada dalam fasa pelaksanaan.


“Sebagai pemaju induk, kami mesti menyiapkan pembangunan infrastruktur terlebih dulu kerana syarikat sudah berjanji dengan semua pemilik plot.


“Selain itu, kami turut berusaha meningkatkan kedudukan jenama projek ini dan ia akan membantu pemaju plot untuk menarik audiens yang betul bagi menjadikan kawasan ini wilayah kewangan yang berjaya,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #TRX

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.