top of page

CMSB sasar kontrak penyelenggaraan jalan Sarawak


KUALA LUMPUR: Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) menyasarkan kontrak konsesi penyelenggaraan jalan negeri di Sarawak selepas konsesi sedia ada miliknya tamat pada Jun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Korporatnya, Datuk Isaac Lugun, berkata CMSB ketika ini mempunyai kontrak untuk menyelenggarakan jalan negeri sepanjang 6,260 kilometer (km) di negeri berkenaan.


“Sarawak mempunyai jajaran jalan negeri sepanjang 30,000 km dan kami yakin mampu memperoleh kontrak konsesi baharu sebaik kontrak semasa tamat pada Jun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Bursa - HLIB Siri Fokus Stratum VIII di sini, hari ini.


Ditanya mengenai kesan kepada CSMB jika kerajaan mengambilalih projek lebuh raya Pan Borneo, Lugun berkata syarikat itu tidak akan terjejas dengan perubahan berkenaan.


“Kami telah menandatangani kontrak dengan kerajaan, maka jika ada perubahan, ia hanya membabitkan rakan pelaksana projek (PDP).


“Kerajaan mahukan kontraktor ‘turnkey’, tetapi masih tidak mendedahkan bagaimana model ini akan dilaksanakan,” katanya yang turut menjelaskan Menteri Kerja Raya, Baru Bian sebagai rakyat Sarawak sudah pasti akan memikirkan yang terbaik buat negeri itu.


CMSB telah dianugerahkan pakej 6 dan ia akan menjadi pembekal utama bahan pembinaan untuk projek itu dengan anggaran kos sebanyak RM16 bilion.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni, berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk membangunkan sebuah empangan yang lebih kecil di Lawas, dengan kapasiti 22 megawatt.


“Tujuannya ialah untuk menarik lebih banyak industri melabur ke kawasan ini. Kami juga akan terus menarik industri hiliran yang menggunakan kurang tenaga tetapi berasaskan kepada teknologi tinggi dan pengetahuan.


“Saya juga ingin menyatakan jumlah pelaburan yang telah diraih oleh Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) ialah sebanyak RM33.64 bilion daripada 22 projek yang telah diluluskan setakat ini,” katanya.



35 views
bottom of page