top of page

CIDB, LLM diarah buat audit


Jaring keselamatan dipasang pada struktur pembinaan sebagai langkah pencegahan kemalangan ketika tinjauan di sekitar ibu kota hari ini.Semalam seorang wanita cedera selepas dinding parapet daripada kerja-kerja pembinaan SUKE terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diarah melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja yang membabitkan keselamatan awam.


Arahan itu susulan insiden konkrit struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) jatuh dan menimpa kenderaan dipandu seorang wanita, semalam.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata insiden itu tidak seharusnya berlaku dan kementeriannya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa orang ramai, dengan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan dibuat.


"Isu keselamatan di tempat kerja amat penting untuk diambil perhatian dan dipatuhi setiap pekerja yang terbabit dalam kerja pembinaan. Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham saja tetapi perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan.


"Kejadian parapet yang jatuh menimpa kenderaan awam semalam dapat dielakkan jika semua pihak terbabit mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul, mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, seorang wanita cedera apabila keretanya ditimpa batu konkrit struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).


Insiden itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.


Mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan dalam kejadian berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang.


Fadillah berkata, LLM dan kementeriannya kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada pemantauan, kualiti, reka bentuk dan metodologi kerja.


Katanya, pihak LLM dan Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) sudah diarahkan menyemak semula reka bentuk dan pembinaan yang membabitkan risiko kepada orang awam sebelum kerja di semua projek SUKE dan DASH dapat diteruskan semula.


"Kerajaan akan merujuk pihak perunding kepada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) jika didapati terdapat unsur kecuaian dari segi reka bentuk dan pemantauan tapak.


"Tindakan tegas akan diambil kepada individu yang didapati cuai semasa pelaksanaan pembinaan," katanya.


Selain itu, beliau berkata, arahan lain yang dikeluarkan termasuk meminta LLM dan PROLINTAS meneliti kembali kaedah reka bentuk yang paling sesuai membabitkan struktur supaya risiko kepada orang awam dan pekerja dapat dikurangkan.


"Pemantauan dan kaedah kerja pihak perunding dan kontraktor perlu diteliti semula supaya keselarasan kaedah reka bentuk dan pemantauan di tapak dapat diseragamkan.


"Kajian menyeluruh perlu dibuat pakar yang berpengalaman bagi mencapai reka bentuk terbaik untuk meminimakan risiko semasa pembinaan membabitkan laluan trafik di jalan sedia ada," katanya.


Berhubung tindakan segera selepas insiden semalam, Fadillah memaklumkan, pihak pemaju utama, MRCB Builders memberi Arahan Memberhenti Kerja kepada subkontraktor (Makna Setia Sdn Bhd) dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.


Katanya, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) SUKE berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet dan kereta yang terbabit, selain pihak pemaju memeriksa semua tembok parapet untuk tujuan keselamatan dan menyemak semula dokumen Prosedur Kerja Selamat serta Kaedah Kerja Pemasangan Tembok Parapet.


"Kerja penutupan jalan dilakukan pihak trafik MRCB bagi kerja pengukuhan tembok parapet sehingga selesai, bermula jam 9 malam tadi dan atas arahan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), semua besi permulaan hendaklah dikimpal dengan besi parapet secepat mungkin.


"Kerja pengukuhan kedudukan tembok parapet berakhir pada jam 5 pagi tadi dan pemeriksaan bersama dijalankan bagi memeriksa kimpalan yang dibuat. Pihak JKKP juga sudah melawat lokasi kejadian semalam dan kita masih menunggu hasil hasil siasatan daripada JKKP," katanya.


Mengenai keadaan mangsa, Fadillah berkata, berdasarkan maklumat terkini daripada keluarga mangsa, keadaannya stabil dan kini menerima rawatan di hospital, selain turut diberikan bantuan sepenuhnya bagi meringankan beban beliau.


"Pihak pemaju dan kontraktor juga diarahkan untuk mengambil tindakan bagi meringankan beban dan tekanan yang dihadapi mangsa dan keluarganya akibat daripada kejadian ini," katanya.



39 views
bottom of page