top of page

Cerun projek rumah kedai runtuh, pemaju diberi 7 hari untuk baik pulih


Pemaju projek pembinaan rumah kedai di pinggiran cerun Taman Muzaffar Shah (TMS), Ayer Keroh
Tanah runtuh di tapak projek pembangunan berdekatan kawasan perumahan di Jalan Sri Raya 7, Taman Muzaffar Syah, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

MELAKA: Pemaju projek pembinaan rumah kedai di pinggiran cerun Taman Muzaffar Shah (TMS), Ayer Keroh, di sini, diberi tempoh tujuh hari bagi melakukan kerja baik pulih hakisan tanah yang menyebabkan runtuhan tanah di kawasan itu.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan mahu tindakan segera dilakukan pemaju bagi mengelakkan kerosakan lebih besar hingga mengancam nyawa dan harta benda penduduk.


"Saya menerima jaminan daripada pemaju untuk memastikan langkah keselamatan dan teknikal dipatuhi sepenuhnya dalam menjalankan projek pembinaan ini.


"Pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberikan tempoh seminggu kepada pemaju untuk membuat kerja baik pulih. Kita akan pantau permasalahan ini secara harian bagi memastikan semua," katanya selepas meninjau kawasan itu, hari ini.


Beliau turut diberi taklimat oleh Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir Ismail Abd Rahman, mengenai projek pembinaan itu serta kerja pembaikan yang dilakukan.


Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin serta Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.


Ab Rauf berkata, proses pembaikan cerun itu dibuat secara berperingkat mengikut perancangan yang dibuat oleh pihak teknikal.


Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi, termasuk mengarahkan projek dihentikan sementara jika berlaku kerosakan lebih besar sehingga penyelesaian dibuat.


Beliau berkata, pemaju juga diingatkan sentiasa berhubung dengan semua penduduk terjejas dan memberi perhatian jika ada kediaman yang rosak dan memerlukan pembaikan atau ganti rugi.


Media semalam melaporkan, sekumpulan penduduk taman itu berhimpun di tepi tapak projek bagi menyatakan kebimbangan berikutan berlaku pergerakan tanah di cerun itu dan merayu campur tangan kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan.


Sumber: Berita Harian


12 views
bottom of page