top of page

CelcomDigi bina rangkaian digital masa depan


CelcomDigi Berhad (CelcomDigi)
CelcomDigi Berhad (CelcomDigi)

Petaling Jaya: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memaklumkan sudah memulakan program berskala penuh bagi membina rangkaian digital masa depan melalui pengintegrasian dan memodenkan rangkaian 4G terbesar di Malaysia dengan teknologi LTE serta 5G yang terkini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Idham Nawawi berkata, ia antara projek pelancaran rangkaian terbesar negara membabitkan 18,000 tapak, susulan kejayaan penggabungan Celcom dan Digi pada awal Disember 2022.


"Rangkaian baharu yang bersepadu dan moden yang baru ini merealisasikan kelebihan dan kekuatan penggabungan antara Celcom dan Digi.


"Kami teruja untuk memulakan projek ini untuk negara, membina rangkaian digital terbesar dan moden menggunakan teknologi telekomunikasi mudah alih terkini," katanya dalam satu taklimat bersama media di sini, hari ini.


Idham berkata, lima kawasan dipilih sebagai projek perintis itu baru-baru ini iaitu di Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson dan Kuantan serta naik taraf ini sudah berjaya diuruskan tanpa sebarang gangguan terhadap pengalaman pelanggan.


"Kami komited untuk membina rangkaian yang lebih pantas dan kukuh bagi menawarkan rakyat Malaysia pengalaman digital tiada bandingan, yang berlandaskan piawaian kesalinghubungan, kelajuan, kebolehpercayaan dan kestabilan yang tinggi.


"Bersama-sama tawaran produk yang luas, kami berharap dapat mengupayakan pelanggan dengan kombinasi pilihan, nilai dan pengalaman rangkaian yang terbaik dan memperkasakan kehidupan mereka yang semakin menjurus kepada digital," katanya,


Sementara itu, Idham berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan dalam memutuskan siapakah yang akan dipilih sebagai entiti A dan entiti B bagi mengendalikan perkhidmatan 5G dalam negara.


"Kami secara aktif mengambil bahagian dalam perbincangan dengan kerajaan dan pemain industri lain yang berminat dalam perkara ini.


"Namun berkenaan entiti A dan entiti B terpulang kepada kerajaan dalam melaksanakan proses bagi menentukan siapakah individu atau entiti terbaik untuk mengambil alih kedua-dua entiti ini.


"Sementara itu, kami terus bekerja dengan kerajaan dalam perkara ini," katanya.


Sumber: Harian Metro


5 views

Comments


bottom of page