top of page

CCSB dilantik kontraktor utama projek 8 Conlay


CCSB dilantik kontraktor utama projek 8 Conlay
Gambar hiasan: Projek 8 Conlay

CCSB dilantik kontraktor utama projek 8 Conlay

KUALA LUMPUR: Conlay Construction Sdn Bhd (CCSB) diumumkan sebagai kontraktor utama baharu untuk projek pembangunan induk 8 Conlay oleh KSK Land Sdn Bhd.


Ini susulan pemeteraian Surat Pelantikan (LOA) yang ditandatangani oleh Damai City Sdn Bhd (Damai City), anak syarikat milik penuh KSK Land dengan CCSB pada 12 Jun lalu, selepas satu tempoh prapembinaan dan perancangan mobilisasi operasi serta tinjauan tapak binaan dibuat bulan lalu.


Setakat 26 Jun 2023, CCSB sudah menggerakkan pasukan tapak binaannya, diikuti dengan subkontraktor utama berserta kebanyakan jentera dan peralatan yang diperlukan ke tapak binaan 8 Conlay.


Pelantikan CCSB ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik jangka panjang KSK Land, memandangkan syarikat itu juga pemaju yang berjaya membangunkan banyak projek.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KSK Group dan Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua, berkata keputusan melantik CCSB sebagai kontraktor utama baharu 8 Conlay dibuat mengikut pertimbangan yang wajar demi masa depan dan komitmen bagi menyiapkan projek itu dalam masa terpantas tanpa sebarang kompromi terhadap aspek kualiti.


"Kami yakin terhadap rekod kecemerlangan CCSB dan sama-sama memahami cabaran serta keperluan sebagai pemaju hartanah, terutamanya mengikut perspektif pembeli atau pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Operasi CCSB, Leong Soon Kiong, pula berkata: "Kami berbangga dilantik sebagai kontraktor utama projek yang berprestij ini. Kami akan bekerjasama dengan KSK Land, perunding mereka dan pihak berkepentingan supaya projek 8 Conlay ini dapat disiapkan dengan jayanya."


Seiring pelantikan CCSB dan setelah pertimbangan wajar dibuat dengan teliti, kedua-dua pihak bersetuju bahawa garis masa projek terbabit perlu dipinda bagi membolehkan ia siap mengikut standard kualiti yang dijanjikan.


Jangkaan garis masa untuk penyiapan Menara A dan podium beli-belah kini ialah Suku Kedua 2024, dengan Penyerahan Milikan Kosong (HOVP) Menara A dijangka pada suku ketiga 2024.


Setakat ini, kemajuan pembinaan Menara A YOO8 ialah 61.60 peratus, dan tumpuan kerja selebihnyanialah terhadap aspek dalaman.


Menara B pula dijangka siap menjelang suku keempat 2025 dan proses HOVP akan bermula menjelang penghujung 2025.


Kemajuan pembinaan keseluruhan bagi Menara B kini pada tahap 37.27 peratus.


Tumpuan pembinaan seterusnya ialah pada fakad bangunan.


Pembinaan 8 Conlay Kempinski Hotel dijangka siap menjelang awal suku kedua 2025 dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun yang sama.


Sumber: Berita Harian


CCSB dilantik kontraktor utama projek 8 Conlay


36 views

Comments


bottom of page