top of page

GDB peroleh kontrak utama menara 8 Conlay RM1.25 bilion


ILUSTRASI projek pembinaan menara 8 Conlay di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Syarikat khidmat pembinaan GDB Holdings Bhd (GDB) memperoleh kontrak bernilai RM1.25 bilion iaitu kontrak tunggal terbesar pernah diraihnya setakat ini membabitkan kerja-kerja sebagai kontraktor utama pembangunan projek pembangunan bercampur, 8 Conlay di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.


Anak syarikat GDB, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) menerima Surat Niat (LOI) daripada Damai City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KSK Land Sdn Bhd, sebelum diberikan Surat Anugerah (LOA) yang membolehkan GDB dilantik sebagai kontraktor utama kerja-kerja tersebut dalam masa 14 hari dari tarikh LOI.


Terletak di antara kawasan segia tiga emas Kuala Lumpur, 8 Conlay terdiri daripada tiga menara dengan ruangan runcit empat tingkat.


Pembangunan bercampur bersepadu itu turut akan mempunyai 68 tingkat Hotel Kempinski dan dua menara kediaman perkhidmatan.


Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Cheah Ham Cheia, berkata kumpulan terus mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak dalam pembangunan kediaman dan komersial mewah.


"Kami mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan mewah sebegini. Setelah mendapatkan LOI untuk 8 Conlay, ia adalah kemuncak portfolio kami.


"Ketiga menara ini akan menjadi bangunan tertinggi yang disertai kami dan akan menunjukkan kemampuan kumpulan dalam melaksanakan usaha yang mencabar secara teknikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group, Joanne Kua, berkata kejayaan ini menandakan kemajuan utama pembangunan 8 Conlay. 


Beliau berkata, pihaknya yakin keupayaan GDB sebagai kontraktor utama dalam menyiapkan 8 Conlay dengan standard kualiti tertinggi dan tepat pada masanya walaupun berdepan dengan cabaran ketika ini.


"GDB mempunyai rekod prestasi dan kepakaran teknikal untuk melaksanakan projek ini, yang akan menjadikan 8 Conlay sebagai mercu tanda baru dalam rekabentuk, inovasi dan kolaborasi di tengah Kuala Lumpur. 


"Setelah siap, 8 Conlay akan memiliki menara kediaman berkembar berpintal tertinggi di dunia dan Hotel Kempinski yang pertama dan satu-satunya di Malaysia," katanya.


Joanne berkata, ketika ini pihaknya mempunyai rakan kongsi yang tepat untuk melangkah ke arah penyelesaian projek utamanya.


Di bawah LOI, GDB diberi hak akses ke tapak projek dan diberi kuasa untuk memulakan tinjauan, perbincangan, menetapkan pekerjaan, perolehan, dan mobilisasi operasi sebelum tarikh dimulakan iaitu 14 hari setelah penerimaan LOA.


GDB berhasrat untuk melaksanakan kontrak dengan menggunakan dana dan/atau pinjaman bank yang dihasilkan secara dalaman. 


Tempoh keseluruhan kontrak adalah selama 32 bulan, dan dijangka memberi sumbangan positif terhadap kewangan GDB dalam masa akan datang sepanjang tempoh kontrak.


Sehingga 30 Jun lalu, GDB mempunyai nilai kontrak sebanyak RM2.27 bilion, yang akan diiktiraf sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.



1,827 views
bottom of page