LONDON: Protein yang dihasilkan daripada darah manusia dan dicampur dengan urin, peluh dan air mata mampu menghasilkan pelekat untuk membentuk konkrit di bulan dan planet Marikh.
Dikenali sebagai AstroCrete, inovasi itu diilhamkan oleh saintis dari University of Manchester yang mencipta pelekat itu bagi mengatasi masalah dan kos menghantar peralatan bahan binaan ke angkasa lepas.
Gam itu mampu mencantumkan tanah di bulan atau Marikh yang menghasilkan bahan seperti konkrit.
Penyelidik mendapati bahan itu 300 peratus lebih kuat daripada konkrit biasa.
Saintis menjelaskan lebih 498 kilogram (kg) AstroCrete dapat dihasilkan dalam misi penerokaan planet Marikh selama dua tahun oleh enam angkasawan.
Bagaimanapun, sebanyak 90kg konkrit diperlukan untuk membina hanya satu kaki persegi dari rumah setingkat.
Harganya mencecah AS$2 juta (RM8.3 juta) bagi sebiji batu bata untuk dibawa ke Marikh.
Pasukan penyelidik mencadangkan penggunaan protein biasa yang terdapat dalam plasma darah, dikenali sebagai albumin serum manusia yang akan bertindak sebagai pelekat debu kosmik.
Proses seterusnya menambahkan air kencing, peluh dan air mata mampu meningkatkan kekuatan binaan konkrit.
Dr. Aled Roberts dari University of Manchester yang membangunkan projek itu menjelaskan, teknik baharu itu mempunyai kelebihan besar berbanding teknik pembinaan lain yang dicadangkan di Bulan dan Marikh.
“Saintis berusaha membangunkan teknologi bersesuaian bagi menghasilkan bahan seperti konkrit di permukaan Marikh, tetapi kita tidak pernah berhenti untuk berfikir bahawa jawapannya mungkin ada dalam diri kita selama ini,” jelasnya.
Tahun lalu, penyelidik dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura mencadangkan penggunaan zat yang terdapat pada sisik ikan dan kulat dikenali sebagai chitin untuk membina habitat di Marikh.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments