top of page

Cadangan kereta kabel di Puncak Borneo


Cadangan kereta kabel di Puncak Borneo Sarawak Voice www.sarawakvoice.com
Gambar hiasan: Cadangan kereta kabel di Puncak Borneo

KUCHING: Cadangan pembinaan sistem pengangkutan kereta kabel bagi menghubungkan perkampungan di kawasan tanah tinggi Puncak Borneo merupakan idea yang menarik serta mampu menjimatkan kos.


Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, pada masa sama ia dapat mengekalkan keindahan semula jadi yang terdapat di kawasan tersebut.


“Cadangan membina kereta kabel bagi menghubungkan kawasan Puncak Borneo ke perkampungan yang berada di atas Empangan Bengoh serta beberapa kampung di atas awan seperti Kampung Sapit, Kampung Kidit dan Kampung Simuti adalah datang daripada penduduk kawasan itu sendiri.


“Idea sangat menarik, unik, efektif serta menjimatkan kos pembinaan kerana penduduk di kawasan terbabit mahukan sistem pengangkutan yang moden dan selesa,” katanya.


Adun Mambong itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Makmal Mini Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKDCA) Dun Mambong di sini, kelmarin.


Tambahnya, pembinaan sistem pengangkutan tersebut juga mampu meliputi lebih banyak tempat tanah tinggi, sekali gus dapat dijadikan tarikan pelancong kerana ia menghubungkan semua perkampungan.


“Pembinaan ini juga bagi memudahkan pergerakan harian penduduk kerana ia bermula dan berakhir di kawasan Rumah Panjang Annah Rais.


“Namun begitu, setakat ini ia hanya cadangan dan jika hendak membinanya suatu hari nanti, kita perlu mencari pelabur dan pihak yang berminat untuk membina kemudahan ini,” ujarnya.


Beliau turut memberitahu pada ketika ini, untuk ke kampung di kawasan terbabit, terdapat perkhidmatan bot disediakan.


Untuk rekod, empat kampung di kawasan Padawan kini dikenali sebagai ‘kampung di atas awan’ iaitu Kampung Kiding, Kampung Kekas, Kampung Sibuti dan Kampung Sapit.


Ia memberikan pengunjung pengalaman berada di atas awan khususnya ketika jam 4 atau 5 pagi kerana diliputi kabus dan berada di atas paras awan.


Setakat ini, tiada kawasan di Sarawak yang mempunyai perkhidmatan kereta kabel.


Sumber: Sarawak Voice


6 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page