
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan kajian kemungkinan jajaran jaringan logistik melalui rel serta udara dari Sabah dan Sarawak ke Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata usaha meningkatkan jaringan logistik ke ibu negara baharu Indonesia itu yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 (RMK12 RP4), sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.
"Kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan kereta api di Sabah dan Sarawak adalah 'nilai untuk wang' serta memberikan impak positif dari segi sosial dan ekonomi setempat.
"Kajian juga akan membabitkan penyediaan strategi pembangunan ekonomi bagi penduduk di sepanjang jajaran dan projek-projek pemacu ekonomi (EAP) yang akan memberi kesan lebih meluas," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) peringkat Kementerian Pengangkutan di Dewan Negara, hari ini.
Hasbi berkata, kementeriannya yakin pemindahan ibu negara baharu Indonesia dengan nama Nusantara dari Jakarta ke Kalimantan, akan memberi kesan positif kepada jaringan logistik sama ada melalui udara atau rel di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pihaknya menggalakkan syarikat penerbangan tempatan atau asing untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan antarabangsa secara terus dengan mengambil kira beberapa langkah, antaranya rundingan dua hala dengan negara asing pada setiap tahun bagi mewujud atau meningkatkan hak trafik penerbangan antara Malaysia dengan negara berkenaan.
Katanya, langkah lain yang perlu diberi perhatian ialah meliberalisasikan bandar-bandar tertentu di Sabah dan Sarawak bawah Perjanjian Pelbagai Hala ASEAN mengenai Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Penumpang.
"Melalui perjanjian yang ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia itu, syarikat-syarikat penerbangan negara anggota ASEAN dibenar untuk mengadakan penerbangan antara mana-mana destinasi ASEAN tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menawarkan pelbagai insentif melalui Program Insentif Syarikat Penerbangan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad kepada syarikat penerbangan luar negara yang beroperasi ke mana-mana lapangan terbang negara, termasuk bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.
Sumber: Berita Harian
Cadangan kajian kebolehlaksanaan jaringan rel, udara ke Kalimantan dalam pertimbangan
Comments