top of page

Cabaran kuasai teknologi baharu



MELIHAT kepada perkarangan yang menempatkan loji penapisan minyak dan petrokimia Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas di Johor, sukar penulis gambarkan bagaimana keadaan andainya penulis bekerja dalam atmosfera sedemikian.


Sejauh-jauh pandangan hanya kelihatan struktur besi selain paip bersaiz 'mega' menghubungkan loji kelihatan mirip 'telaga' konkrit bersaiz gergasi. Sesekali nyalaan api di menara pada kawasan sama selain tiada langsung tumbuhan di persekitarannya.


Penulis tiba di situ untuk menemu bual jurutera wanita yang berada di lapangan berkenaan, rasa kagum terus tersemat di hati apabila mengetahui di sebalik lapangan kerjaya didominasi lelaki itu ada kelibat 'hawa.'


Bukan calang-calang kerana kesempatan bertemu Ketua Proses Projek Isononanol PETRONAS Refinery & Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) Norazian Abd Manaf, sukar menggambarkan dia juga memikul tanggungjawab isteri dan ibu kepada lima cahaya mata.


Kata Norazian, titik permulaan kerjayanya dalam industri disifatkan paling berisiko itu disebabkan mahu menunaikan hasrat arwah bapanya, Kapten Abd Manaf Yaacob yang mahu melihat dia menyambung pengajian dalam kejuruteraan.


"Saya ini pada kedudukan sekarang yang juga selaku jurutera proses sebenarnya disebabkan arwah bapa mahu saya sambung pengajian dalam kejuruteraan polimer. Jadi ketika itu saya tidak fikir panjang dan terus ambil jurusan itu yang hanya ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia.


"Tamat sahaja saya terus bekerja dengan Petronas kerana saya penerima biasiswa. Sebenarnya sebelum saya memikul tugas mengetuai projek ini, pengalaman saya untuk turun ke lapangan 'on' dan 'off'.


"Cumanya saya ada kelebihan di mana ketika bersama Petronas, saya pernah terbabit dengan projek usaha sama bersama syarikat BASF dari Jerman membuatkan saya mempunyai kelebihan segi teknikal berkaitan dengan loji sehinggalah diberi tanggungjawab mengetuai projek fasa akhir ini.


"Bahagian ini penting kerana ini 'tuaian' yang menentukan pengeluaran dan pendapatan selepas usaha dan pelaburan terhadap pembinaan kompleks bersepadu bertahun lamanya," katanya.


Menyentuh cabaran sebenar, selain mengetuai kumpulan jurutera dan teknikal semuanya lelaki, teknologi ditampilkan adalah baharu baginya.


"Setiap hari adalah 'survival' bagi saya kerana saya masih belajar dan dalam proses menguasai ilmu berkaitan teknologi berkenaan. Malaysia adalah negara ketiga selepas China dan Jerman memiliki loji bersepadu seperti ini.


"Boleh dikatakan ia juga sesuatu yang baharu bagi semua 10 jurutera dan 58 operator di bawah kendalian saya. Mereka daripada pelbagai latar belakang kepakaran. Tugas saya ialah menyatukan mereka untuk menjayakan sasaran ditetapkan pihak atasan," katanya penuh optimis.


Dalam pada itu, Norazian tidak lupa terhadap komitmen keluarga. Dia yang mempunyai lima anak sedang meningkat dewasa iaitu berusia enam hingga 20 tahun, membuatkan hujung minggu antara waktu paling dinantikan untuk bersatu dengan keluarga tercinta.


"Saya berterima kasih kepada suami kerana dia banyak memberi sokongan termasuk uruskan anak dan memudahkan saya menjadi ibu serta isteri tatkala hujung minggu.


"Rutin harian menghubungi mereka selain kualiti waktu bersama termasuk bercuti dan beriadah adalah satu kemestian meskipun sibuk. Saya akan cuba untuk berada pada waktu penting seperti hari sukan, hari lahir dan sebagainya," katanya.


Mengenai resipi kejayaan dalam kerjaya dan pada masa sama mempunyai keluarga yang sering memahami, kata Azian dia tidak alpa untuk terus berdoa serta mendapat restu baik keluarga atau orang sekitarnya.


"Saya sentiasa muhasabah diri termasuk apa yang saya lakukan pada hari ini baik ada dosa dengan orang atau tidak. Tidak lupa saya akan selesaikan urusan baik hal anak mahupun keperluan suami sebelum saya memulakan kerja.


"Selain itu amalan dan didikan ibu saya yang saya rasa banyak membantu memudahkan urusan seharian iaitu supaya sentiasa bersedekah. Kalau mampu hulurkan wang ringgit selain murah dengan senyuman , katanya.


Pengalaman tidak boleh lupa, lumrah bekerja dalam industri memerlukan dia terbang ke luar negara, kata Norazian pengalaman tertinggal bekalan susu badan di lapangan terbang dalam perjalanan ke China antara tidak boleh dilupakan.


Sumber: Harian Metro


9 views
bottom of page