top of page

Cabaran besar jamin bekalan gas, harga mampu milik - Petronas Gas


BASF Petronas Chemicals di Gebeng
Gambar fail - BASF Petronas Chemicals di kawasan perindustrian Gebeng. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

BASF Petronas Chemicals di Gebeng

KUALA LUMPUR: Tiga Cabaran besar atau Trilemma yang dihadapi pasaran gas di Malaysia ketika ini adalah meliputi melindungi keselamatan jaminan bekalan dan kelestarian tenaga serta menyediakan tenaga mampu milik kepada rakyat.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd (PGB), Abdul Aziz Othman, berkata dilema itu bukan saja dihadapi oleh negara ini, malah ia turut dihadapi oleh negara maju seperti Eropah dan Australia.


Beliau berkata, cabaran itu mendorong kerajaan negara berkenaan campur tangan dengan membawa masuk arang batu bagi memastikan negara mereka mempunyai tenaga yang mencukupi dan berpatutan.


Katanya, bagi PETRONAS, ia kekal komited memastikan proses Akses Pihak Ketiga diperkemas bagi membolehkan akses yang lebih mudah kepada pihak ketiga menggunakan kapasiti daripada aset pengegasan semula di seluruh negara.


"Memahami pentingnya tenaga mampu milik di negara ini, kami berharap kerajaan boleh melaksanakan dasar subsidi bersasar yang lebih baik berbanding subsidi pukal sedia ada.


"Kerajaan boleh terus menyokong pasaran gas domestik dengan menyediakan insentif fiskal dan cukai bagi menggalakkan pelaburan huluan serta penyertaan lebih ramai pemain gas asli cecair (LNG).


"Dengan ini, diharapkan lebih ramai pemain akan memasuki pasaran, yang kemudiannya menambah kecairan ke dalam pasaran dan dengan itu meningkatkan jaminan bekalan negara," katanya kepada BH.


Abdul Aziz berkata, PGB akan memastikan bekalan gas di negara ini mencukupi dan mampu milik ketika peralihan tenaga ke arah rendah karbon menerusi penyampaian penyelesaian gas secara bertanggungjawab dan mampan.


Beliau berkata, syarikat infrastruktur gas dan utiliti berpusat utama di Malaysia itu telah menubuhkan Rangka Kerja Pengurusan Risiko Perubahan Iklim PGB.


Katanya, dengan adanya rangka kerja itu membolehkan pihaknya mempunyai matlamat yang jelas, memahami di mana ia berada dalam jejak karbon dan pelepasan, menangani dan menyesuaikan risiko yang berkaitan serta meneroka peluang baharu.


Jelasnya, rangka kerja itu bukan saja meliputi operasi harian PGB, malah ia juga merangkumi projek pertumbuhannya.


"Matlamat PGB adalah untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (NZCE) menjelang 2050 selaras dengan aspirasi NZCE 2050 PETRONAS.


"PGB akan bekerjasama dengan PETRONAS untuk menggunakan strategi penyelesaian pengurangan dan mencartakan laluan NZCEnya," katanya.


Mengulas lanjut mengenai pasaran gas tempatan, Abdul Aziz berkata, sebenarnya pasaran gas di Malaysia hari ini telah sebahagiannya diliberalisasikan.


Beliau berkata, kecuali gas kepada sektor tenaga, gas yang dijual kepada pelanggan lain diliberalisasikan sepenuhnya.


Jelasnya, di Malaysia, gas digunakan untuk penjanaan kuasa, sebagai bahan mentah untuk petrokimia dan juga bahan api bagi aplikasi lain seperti pengeluaran sarung tangan, pelarut farmaseutikal dan kimia khusus.


"Ketika pandemik, penggunaan gas merosot dengan ketara, namun sejak kita memasuki fasa endemik, permintaan telah meningkat semula ke paras pra-pandemik.


"Gas sentiasa tersedia untuk memastikan penjanaan kuasa yang mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi yang semakin meningkat selepas COVID-19," katanya.


Mengenai campuran tenaga yang betul bagi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih, Abdul Aziz berkata, PGB percaya campuran tenaga yang betul harus terdiri terutamanya daripada gas asli dan tenaga boleh diperbaharui.


Beliau berkata, kedua-dua sumber tenaga itu boleh bekerjasama untuk menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai rendah hingga sifar karbon.


Jelasnya, dengan menggabungkan kedua-dua sumber itu, gas asli menyediakan pangkalan muatan bekalan kuasa diperlukan dan stabil.


Melangkah ke depan, Abdul Aziz berkata, pergantungan kepada gas sebagai bahan api pelengkap adalah bergantung kepada dasar yang betul.


Beliau berkata, ia juga bergantung kepada rangka kerja yang akan memastikan pelaburan huluan berterusan ke dalam industri gas Malaysia, seterusnya menyumbang ke arah keselamatan jaminan bekalan dan kemampanan tenaga.


Sumber: Berita Harian


3 views
bottom of page